Muhyiddin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Ceramah Isu-isu Semasa sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di PDM Batu 26 Beranang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nazri Aziz agar mencabar keputusan kerajaan dalam melantik Peguam Negara, Tommy Thomas ke mahkamah.

Menurut beliau, sekiranya Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendapati ada kesalahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam melantik Tommy dan Ketua Hakim Negara, maka beliau dipersilakan untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Nazri Aziz adalah seorang peguam, kalau dia kata kita sah melanggar perlembagaan dia boleh heret kita ke mahkamah. Sila bawa kita ke mahkamah, tapi saya tahu dan dia tahu ini tidak salah,” katanya dalam ucapan di Kampung Sungai Kembung, Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Muhyiddin merujuk kenyataan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu yang menuduh PH lemah dan terpaksa menyerahkan hak-hak Melayu kepada kaum lain.

Nazri berkata, perkara itu dapat dilihat dengan perlantikan bukan Melayu sebagai Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, dan Menteri Kewangan.

Mengulas mengenai itu, Muhyiddin berkata, segala perlantikan yang dibuat oleh kerajaan PH sudah dimuktamadkan dan dakwaan itu nyata tidak benar sama sekali.

“Dia kata kenapa lantik Lim Guan Eng jadi Menteri Kewangan, yang dulu jadi Menteri Kewangan siapa? Menteri Kewangan sebelum Guan Eng.

“Najib Razak Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, dia orang Melayu? Jadi soal pokoknya bukan soal bangsa, ini bukan perkauman.

“Soalnya amanah, kalau dia jadi Menteri Kewangan dia sapu habis bersih, saya fikir walaupun dia totok Melayu, dia telah melakukan satu jenayah pada bangsa Melayu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast