KUCHING – Kerajaan akan menguji keberkesanan pelaksanaan waktu kerja fleksibel untuk penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak mulai 1 Mac.
Sinchew Daily melaporkan, pelaksanaan sistem baharu itu bagaimanapun tidak melibatkan kakitangan awam dalam institusi pendidikan dan kesihatan.
Waktu pekerjaan di bawah sistem itu adalah fleksibel yakni membolehkan penjawat awam memulakan tugas antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi.
Mereka perlu bekerja selama sembilan jam dan pulang dari tempat kerja antara jam 4.30 hingga 5.30 petang.
Secara umumnya, penjawat awam boleh memulakan tuga pada bila-bila dalam tempoh masa yang dibenarkan, tetapi mereka perlu menjalankan tugas selama sembilan jam sebelum dibenarkan pulang.
Penjawat awam yang memulakan tugas pada pukul 8.07 pagi, sebagai contoh, akan dibenarkan pulang pada pukul 5.07 petang selepas melaksanakan tugas selama sembilan jam.
Keadaan bagaimanapun sedikit berbeza untuk kakitangan di Terengganu dan Johor kerana mereka hanya perlu bertugas selama tujuh jam 30 minit pada Khamis iaitu menghabiskan kerja dalam tempoh pukul tiga hingga empat.
Selain itu, petugas kaunter pula perlu memastikan perkhidmatan kaunter menepati waktu operasi yang ditetapkan. – MalaysiaGazette