SEMENYIH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad memuji calon parti itu, Muhammad Aiman Zainali yang bertanding pada PRK DUN Semenyih.
Perdana Menteri sempat berseloroh dengan memanggil
Aiman dengan slanga ‘Aimen’ berkata, ucapan anak muda itu tidak menghampakan dan bersemangat.
“Aimen, not badlah ucapan dan bersemangat. Waktu Presiden Sukarno hidup Aiman mungkin tidak dilahirkan lagi. Tapi beliau ingat apa pesanan Sukarno.
“Berikan 10 anak muda, akan aku goncang dunia. Aiman tak goncang dunia pun tidak apa, goncang Semenyih ini,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan di sini malam ini.
Hadir sama beberapa pemimpin kanan PH antaranya dua Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng.
Antara lain Naib Timbalan Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Muhammad Aiman yang berdiri di sebelah Mahathir sebelum itu memberi ucapan yang bersemangat dengan memberi pesanan Sukarno pada akhir ucapannya.
Mahathir yang Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, pengundi Semenyih perlu memilih anak muda berusia 30 tahun itu kerana beliau mewakili parti kerajaan.
Jelas beliau, ini kerana jika Muhammad Aiman menjadi wakil rakyat beliau boleh menunaikan janji manisfestonya sekaligus menyelesaikan masalah rakyat.
“PH tahulah sebab pernah menjadi pembangkang selama 60 tahun. Kalau tidak jadi kerajaan tidak boleh buat apa pun.
“Namun kini kami sudah menjadi kerajaan dan kami akan bantu wakil rakyat dari parti kami.
“Kalau calon dari parti pembangkang boleh berjanji sahajalah dan tinggal janji.
“Aiman kalau menang boleh bisik-bilik dekat menteri minta apa-apa dan menteri ok. Lim Guan Eng ada sini beliau jaga duit, kalau tak beri kita ketuk beliau,” katanya. – MalaysiaGazette