Foto Credit: UNHCR

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU – Bangladesh memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negara itu tidak boleh memenrima pelarian dari Myanmar, selepas 18 bulan dengan lebih 700,000 orang yang kebanyakannya etnik Muslim Rohingya menyeberangi sempadan untuk melarikan diri daripada kekejaman tentera.

Serangan ke atas pos kawalan keselamatan oleh pemberontak etnik Rohingya di negeri Rakhine mencetuskan tindakan keras itu dilakukan yang mana PBB, Amerika Syarikat (AS), Britain dan negara lain menggelarnya pembersihan etnik.

“Saya dengan dukacita memaklumkan majlis bahawa Bangladesh tidak lagi dalam kedudukan untuk mengambil lebih ramai orang dari Myanmar,” kata Setiausaha Kementerian Luar Bangladesh, Shahidul Haque .

Haque mendakwa Myanmar mengamalkan ‘pendekatan janji palsu dan pelbagai halangan’ semasa rundingan, lapor Reuters.

“Tiada seorang Rohingya yang dengan sukarela kembali ke Rakhnie berikutan ketiadaan persekitaran yang kondusif, ” kata Haque.

Myanmar berkata, negara itu sedia menerima kepulangan pelarian sejak Januari lalu, namun PBB berkata persekitaran untuk kaum etnik itu untuk pulang adalah tidak betul. Etnik Rohingya mahu jaminan terhadap keselamatan selain diiktiraf sebagai warga negara sebelum pulang.

Negara-negara barat dalam majlis keselamatan itu menyatakan terdapat kekurangan tindakan daripada kerajaan Myanmar.

“Kami sangat kecewa… bahawa tiada kemajuan untuk membolehkan pelarian ini pulang dan jelas ia meliputi mewujudkan keadaan di mana pelarian berasa selamat untuk pulang,” kata Duta Britain ke PBB, Karen Pierce kepada majlis itu. – Agensi