SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) sepatutnya menetapkan sasaran 100 peratus menang barulah orang akan percaya dan bukan 60 peratus.
Itu jawapan jawapan sinis Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya kenyataan BN mengenai potensi kemenangan mereka pada hari mengundi PRK DUN Semenyih esok.
Bagaimanapun, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, partinya tidak gelojoh atau mengambil sikap terlampau yakin mengumumkan sasaran kemenangan seperti pembangkang.
“Mana boleh dia cakap 60 peratus.. dia patut cakap 100 percent baru orang percaya. Dia boleh katakan 60 peratus..70 peratus dan saya juga boleh cakap yakin menang 80 peratus undi tetapi orang mesti percaya.
“Saya orang lama dalam politik sistem pilihan raya ini, kita tidak perlu bersikap terlampau yakin dan perlu fokus kerana setiap undi itu penting,” katanya dalam sidang media selepas Amanat kepada Jentera PH secara tertutup di Semenyih petang tadi.
Pun begitu, tambah beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, walaupun mempunyai sasaran kemenangan, pihaknya memilih untuk tidak mengumumkan secara umum.
Menurutnya Pakatan Harapan (PH) mempunyai sasaran peratus menang tersendiri tetapi memilih untuk tidak mengumumkannya.
“Mereka BN boleh membuat pelbagai ramalan tapi kita tahu apa sasaran berdasarkan data yang ada serta kedudukan parti.
“Selain itu, pengundi sini majoriti Melayu dan berpecah kepada beberapa kumpulan mengikut PH, BN, Pas dan sebagainya dan begitu juga pengundi Cina dan India kita tahu keadaan.
“Inilah hari ini dengan esok saat paling kritikal dan segala penjelasan berkenaan janji serta apa yang dilaksanakan kerajaan PH selama ini sudah dibuat maka pengundi yang akan melaksanakan hak demokrasi mereka untuk memilih wakil mereka esok secara bijaksana.
Katanya, secara logik, beliau yakin pengundi tidak akan memilih pembangkang sebagai wakil mereka memandangkan kerajaan negeri dan pusat diperintah PH yang memudahkan penyusunan agenda pembangunan untuk rakyat.
“Pengundi seharusnya sokong PH kerana ada faedahnya yang mana DUN ini memerlukan seorang yang boleh melaksanakan tugas dan amanat yang dijanjikan kepada rakyat.
“Dalam soal ini, saya tidak percaya UMNO atau calon mereka dan mana mana pihak lain kalau menang mereka boleh menyampaikan apa yang dijanjikan semasa kempen sejak 16 Februari lalu kerana mereka tak mempunyai kapasiti itu, ini yang pengundi Semenyih harus fikirkan sebelum mencelup jari dalam dakwat esok,” katanya.
Ditanya mengenai kaji selidik, ILHAM Centre yang mengatakan BN boleh melakukan kejutan esok kerana mendakwa calon PH tak berwibawa, strategi tidak efektif dan hampir 60 peratus pengundi Melayu menganggap PH gagal menangani isu Melayu dan Islam, Muhyiddin berkata;
” Tidak mengapalah itu setiap kumpulan pemikir, think tank ada tafsiran sebegitu dan kita pun ada juga seumpama.
“Apa pun kaji selidik itu tak membimbangkan kita sebab kita hampir lebih separuh isu sudah dijelaskan kepada pengundi baik soal kebajikan dan juga kos sara hidup dan sebagainya.
“BN kalau nak boleh raikan kemenangan soal selidik itu tapi kalau ikutkan sehingga keputusan SPR esok tidak bolehlah (raikan),” ujarnya.
Muhyddin juga menjelaskan, PH sepanjang kempen selama 14 hari telah menjelaskan kenapa kerajaan tidak boleh melaksanakan apa yang dijanjikan terhadap rakyat lagi dalam manifesto PRU-14.
“Bukan masalah tak mahu tapi keupayaan kita berdasarkan sumber yang ada, kalau hutang sampai keliling badan sampai trilion selain keruhgian lain yang harus ditanggung.
“Saya jangka kita takkan kekal lama dengan keadaan sebegini kerana ekonomi sudah mula diuruskan dengan baik selain memerangi rasuah serta berjimat perbelanjaan projek pembangunan tapi ini ambil masa sedikit,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette