Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad (kanan) bersama Naib Presiden PAS, Idris Ahmad (dua kanan) dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (tiga kiri) berdoa pada Himpunan Aman Ancaman Kepada Kedaulatan Islam di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 Mac 2019

KUALA LUMPUR – Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk UMNO dan Pas hari ini memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar bertindak tegas ke atas penghina agama dan Nabi Muhammad.

Amaran itu disampaikan oleh wakil NGO berkenaan, Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad selepas mendapati kerajaan PH berdiam diri daripada mengambil sebarang tindakan tegas ke atas penghina agama.

Menurut beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa wajar bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku hari ini.

“Orang hina Islam, kerajaan senyap. Orang hina Raja-Raja Melayu, kerajaan senyap, tidak ada apa-apa tindakan diambil.

“Kami beri amaran kepada menteri agama (Dr. Mujahid) berhenti (letak jawatan), sebelum fitnah lebih besar menimpa kamu. Sila berhenti,” katanya kepada pemberita selepas program Perhimpunan Aman Ancaman Kepada Kedaulatan Islam dan Nabi Muhammad di hadapan Masjid Negara di sini, hari ini.

Menurut Kamaruzaman, sekiranya kerajaan PH masih gagal menangani perkara itu, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan mega yang lebih besar daripada himpunan ICERD bulan lepas.

“Sekarang kita tunggu dan lihat apa tindakan seterusnya yang diambil oleh kerajaan terhadap penghina agama dan kedaulatan Raja Melayu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap berkata, beliau mewakili organisasi UMNO merasa sedih dan kesal dengan penghinaan orang bukan Islam terhadap Islam.

Katanya, mereka berhimpun hari ini adalah untuk menyatakan kemarahan atas penghinaan itu.

“Kita selama ini tidak pernah menghina atau menjentik agama lain, tetapi mereka sewenang-wenangnya menghina agama dan Nabi kita. Seolah ia satu perancangan.

“Selama ini UMNO dan Pas dituduh oleh kerajaan PH bahawa kita sengaja hendak memburukkan agama dengan mengadakan bantahan dan mengecam penghina Nabi Muhammad.

“Kita bercakap pasal Tabung Haji sikit pun, dia (Dr. Mujahid) ugut nak saman. Tapi, bila orang bukan Islam hina Nabi Muhammad, dia diam membisu. Malah, tuduh kita ada agenda politik,” tegasnya.

Dr Asyraf berkata, walaupun beliau dilihat bersama dengan pemimpin Pas, termasuk kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, penglibatan mereka hari ini adalah sebagai umat Islam.

“Kita pakai baju agama hari ini bukan baju politik,” katanya.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pula berkata, perhimpunan itu adalah atas rasa cinta umat Islam dan sesiapa sahaja tidak boleh sewenang-wenangnya menghina Nabi Muhammad.

Katanya, kalau Nabi Musa dan Nabi Isa pun tidak boleh dihina, apatah lagi Nabi Muhammad.

Beliau turut memberi peringatan, bahawa Melayu boleh hilang tanah, tetapi tidak boleh hilang agama. – MalaysiaGazette