Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) susut pada sesi awal hari ini selepas mencatatkan kerugian bersih suku tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018.

Sehingga 10.30 pagi, TNB merosot 42 sen kepada RM13 dengan 42.0 juta unit diurus niaga.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM134.3 juta pada suku keempat tahun kewangan 2018 disokong oleh perolehan suku tahunan sebanyak RM12.55 bilion. Tiada angka perbandingan untuk suku tahun itu disebabkan perubahan pada tahun kewangannya daripada 31 Ogos kepada 31 Disember.

Bagi tahun penuh tahun kewangan 2018, syarikat utiliti itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.72 bilion disokong oleh perolehan sebanyak RM50.39 bilion.

Maybank Investment Bank berkata keputusan tahun kewangan 2018 sejajar dengan jangkaannya, tetapi di bawah konsensus.

“Oleh itu, jangkaan pendapatan konsensus dijangka diturunkan kepada paras yang lebih munasabah selepas keputusan.

“Kebimbangan semasa berkaitan liberalisasi industri kelihatan diperbesar-besarkan, pada pandangan kami. Mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran tidak berubah pada RM15.50,” katanya dalam nota hari ini.

— BERNAMA