SEMENYIH – Seorang individu dipercayai peguam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan kain rentang kontroversi memaparkan wajah Datin Seri Rosmah Mansor supaya diturunkan.
Namun individu yang mendakwa dirinya sebagai yang bertanggungjawab menggantung kain rentang itu berkeras enggan berbuat demikan.
“Alasan yang diberikan tidak konkrit . Apa bukti yang itu adalah bahan kempen.
“Buat apa saya nak turunkan, saya tidak lakukan sebarang kesalahan dalam PRK Semenyih.
“Kain rentang itu tidak memaparkan sebarang wajah calon dan mana-mana parti yang bertanding.
“Sebagai ahli parti saya ada hak nak gantung gambar sesiapa, kat rumah saya ada gantung Janna Nick,” kata lelaki separuh abad yang enggan mendedahkan namanya.
Kedegilan beliau menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara pihak SPR dan penyokong PH ekoran arahan berkenaan.
“Kain rentang itu menyalahi Akta 11 (1) (C) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang mana tidak tertera nama pencetak atau penerbit. Sudah menjadi polisi SPR sekiranya jumpa perkara begini dan ia menyalahi undang-undang.
“Ini jelas salah,” katanya kepada individu berkenaan.
Dipercayai SPR mengambil keputusan untuk tidak menurunkan kain rentang itu atas faktor keselamatan.
Juga difahamkan, SPR akan membuat satu laporan polis berhubung insiden berkenaan. -MalaysiaGazette