Menteri Perdagangan Dalan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kanan) melelongkan lukisan yang telah dihadiahkan kepadanya kepada salah seorang hadirin, Datuk Seri Jessy Lai (tiga kiri) pada Perasmian Bard's Art Exhibition sambil diiringi pelukisnya, Badariah Abdul Hamid (kiri) di Oasis Damansara, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Secara spontan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bukan sahaja telah menolak hadiah penghargaan berupa sebuah lukisan ‘mahal’, sebaliknya bertindak melelongkan karya tersebut sebentar tadi.

Tindakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin.

Saifuddin secara baik menolak lukisan yang diberikan oleh penganjur,  juga pelukis karya berkenaan, Badariah Abdul Hamid  kerana sudi hadir pada majlisnya.

Jelas Saifuddin, beliau berterima kasih dengan hadiah lukisan yang disifatkan berharga tetapi menolaknya dengan cara baik kerana bertentangan dengan prinsip integriti kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya sebenarnya biasa menerima hadiah berupa hamper buah-buahan sejak lapan bulan menerajui kementerian ini, namun hadiah ini saya anggap mahal dan tidak silap saya mungkin harganya juga lebih daripada RM500. Saya tidak boleh terima tanda penghargaan ini.

“Saya minta maaf, dasar kerajaan PH juga telah memberi ketetapan menteri dan anggota pentadbiran adalah dilarang untuk menerima sebarang pemberian kecuali bunga, makanan serta buah-buahan sahaja.

“Bukan saya tidak hargai hasil seni seperti ini, sebaliknya apa yang lebih penting adalah nilai integriti yang tebal dalam diri saya” katanya ketika Pameran Bard’s Art Exhibition di Oasis Village sebentar tadi.

MGF02032019_PAMERAN SULUNG BADARIAH_01

Saifuddin kemudian membuat kejutan lagi apabila meminta kebenaran daripada para hadirin yang juga dalam kalangan orang kenamaan untuk melelongkan hadiah beliau iaitu sebuah lukisan bertajuk ‘Celestial Heaven’ dengan harga permulaan sebanyak RM3,001.

“Hasil lelongan ini boleh disalurkan untuk tabung kemanusian yang akan memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan, itu yang sebaiknya.

“Saya buka bidaan dengan RM3,001. Saya harap ada pihak dapat membidanya dengan nilai yang lebih tinggi dari ini,” ujarnya.

Selepas beberapa bidaan, akhirnya lukisan tersebut telah dibida dengan nilai RM4,888 oleh pengasas Monspace, Datuk Seri Jessy Lai yang turut memuji tindakan Saifuddin itu.

Dalam pada itu, Saifuddin ketika berucap mendedahkan pihaknya sedang mengkaji bagaimana hasil seni dapat dibangunkan sebagai bahan perdagangan dalam negeri pada masa hadapan.

Katanya, inisiatif itu sebenarnya secara tidak langsung akan memberi peluang serta dorongan kepada pelukis, pengukir dan penggiat seni untuk lebih bersemangat untuk berkarya dengan lebih baik lagi.

“Pada masa yang sama, kita juga harus mencari jalan untuk menggalakan pengguna menghormati seni serta hak cipta seseorang agar tidak tertipu atau hasilnya di ciplak,” katanya selepas menghadiri masjlis perasmian pameran sulung Badariah anjuran Strategy, Planning, Ethics, Leadership Lab (SPELL) hari ini. –MalaysiaGazette