KUALA LUMPUR – “Ini bukan zaman menteri tahu semuanya, kita mahu menggalakkan rakyat melibatkan diri dalam menentukan halatuju ekonomi (negara),” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menjawab soalan penonton mengenai kapasiti yang dipegang beliau ketika mempromosi ekonomi digital, Digital Native Agenda 23 (DNA23) yang dilancarkan di Astro hari ini.
Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu, walaupun ramai melihat beliau hanya suami kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail namun beliau juga mempunyai tanggung jawab dan tugas kepada negara.
“Saya menggunakan peluang ini untuk menyatakan minat dan idea yang mampu merubah landskap ekonomi negara,” katanya lagi.
Menurut Anwar, DNA23 bukan khusus kepada golongan elit dan urban sahaja tetapi merangkumi semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan lokasi mereka berada.
DNA23 adalah platform yang mengetengahkan pandangan orang ramai mengenai landskap ekonomi Malaysia.
“Petani dan nelayan contohnya, mereka terpaksa menjual hasil tangkapan atau pertanian mereka pada harga yang rendah tetapi apabila barangan tersebut dijual di pasar-pasar di Kuala Lumpur, harganya sudah melambung.
“Sekiranya kita ada aplikasi atau platform digital yang boleh digunakan untuk merapatkan jurang harga tersebut, pastinya ia dapat meningkatkan pendapatan para nelayan dan petani yang rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
“Perkara ini perlu dilakukan segera, kita tidak boleh menunggu sehingga tiga atau empat tahun lagi kerana ketika itu landskap ekonomi sudah berubah,” katanya lagi.
Tambah Anwar, transformasi ekonomi negara bukan hanya bergantung kepada kerajaan sahaja malah perlu disokong kuat oleh pihak industri sendiri.- MalaysiaGazette