Raggie Jessy
Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy Becakap pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto MIRZA HASIM, 7 OGOS 2018

SUBANG JAYA – Pergerakan Malaysiaku Tanahairku hari ini membuat laporan polis terhadap empat individu didakwa berkomplot dengan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes dana RM90 juta.

Memetik laporan Utusan Online, ketuanya, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, Clare bersama empat individu lain didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram menerusi bayaran saman RM1.4 juta membabitkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di luar mahkamah.

Laporan polis tersebut dilakukan oleh pemimpin NGO itu kira-kira jam 12.00 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor hari ini.

Raggie Jessy berkata, laporan itu dibuat terhadap Pengerusi Baru Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Datuk Rameli Musa, Peguam Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu, Pengurus Maybank Jalan Tun Razak dan Bank Negara.

Katanya, kesemua individu itu dikatakan mengetahui transaksi kewangan RM1.4 juta yang didakwa dibayar oleh Abdul Hadi sedangkan sebenarnya penyelesaian kes antara mereka tidak membabitkan sebarang kos.

Katanya lagi, Clare mengetahui dakwaan itu satu pembohongan dan mereka tahu pembayaran itu tidak membabitkan kes saman terhadap Abdul Hadi sebaliknya wang itu adalah pembayaran lain daripada Rameli menerusi peguamnya untuk mengelak Clare membayar cukai.

“Oleh itu, pihak polis digesa melakukan siasatan berhubung perkara ini kerana ternyata perkara tersebut menyalahi undang-undang negara ini kerana transaksi itu tiada pengesahan bank negara serta bank pusat di United Kingdom,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast