KUALA LUMPUR – Kerjasama Pas-UMNO bukan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri semula sebaliknya untuk mengembalikan kepimpinan orang Melayu, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, atas agenda itulah Pas menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga habis penggal.
“Kerjasama ini adalah untuk mengembalikan kepimpinan Melayu, bukan untuk Najib, Najib sudah tidak jadi perdana menteri, sudah tidak jadi presiden UMNO,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman.
Abdul Hadi ditanya kenyataan Dr Mahathir bahawa kerjasama kedua-dua parti itu adalah untuk mengembalikan Najib sebagai perdana menteri.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerjasama yang dijalin oleh Pas terbuka untuk semua parti Melayu termasuk parti Bersatu dan bukannya UMNO semata-mata tanpa mengancam atau mengabaikan kaum-kaum lain.
“Memang kita bekerjasama dengan parti-parti khusus parti Melayu. Kita dapati orang Melayu berpecah. Orang Cina tak berpecah. Orang cina pakat undi DAP. Gerakan undi DAP, MCA undi DAP.
“Sebab itu kita perlu menyatukan parti orang Melayu. Dan parti Melayu yang tingggal hanya Pas, UMNO dan Bersatu. PAN bukan parti Melayu, PKR bukan parti Melayu, sebab itu kita bekerjasama,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kaum lain perlu menghargai jasa umat Islam yang menerima mereka sebagai warganegara dan diberikan kebebasan beragama serta menubuhkan sekolah berasaskan bahasa ibunda mereka.
Katanya, keadaan itu berbeza di Indonesia dan Thailand, mereka tidak dibenarkan buka sekolah Cina.
“Di negara kita, kita benarkan. Sepatutnya mereka terhutang budi, tetapi mereka meminta lebih.
“Mereka sepatutnya sedar diri, bagaimana orang Islam yang 65% (ialah) penduduk Malaysia, tetapi 80% (ekonomi) di tangan bukan Islam. Di Indonesia, Cina hanya 2%, tetapi ekonomi 80% di tangan bukan Islam. Ini boleh mencetuskan ketegangan,” katanya.
Ditanya kenyataan Pas yang mengkafirkan UMNO sebelum ini, katanya, kerjasama yang terjalin sekarang ini membuktikan isu itu tidak lagi timbul.
Beliau turut menjelaskan apa yang berlaku dahulu disebabkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan Islam dan keingkaran itu kerana kejahilan mereka sambil menekankan keadaan itu kini tidak lagi berlaku.
Mengenai kenyataan Lim Guan Eng yang kerjasama Pas-UMNO akan mensasarkan kepada bukan Melayu, Abdul Hadi berkata, kenyataan tersebut mencerminkan ketakutan Setiausaha Agung DAP itu kerana apabila berlaku perpaduan, mereka tidak lagi boleh menggunakan orang Melayu untuk kepentingan mereka.
Presiden Pas itu juga menegaskan tidak timbul penolakan MIC dan MCA kerana parti itu sememangnya telah menjalin hubungan dengan kedua-dua parti itu malah kerjasama dengan MIC dirumuskan sebagai sangat baik. – MalaysiaGazette
hadi jangan main kayu tiga dengan Najib. orang umno ada target lain pas pula ada target lain. kalau mereka menang pun gabungan mereka tak bertahan lama . pas jiwa pembangkang. pas akan bergabung dengan pH lah pulak . bila umno jadi kerajaan.