KUALA LUMPUR – Hanya 17 peratus perniagaan di Malaysia mempunyai wanita yang diangkat sebagai ketua pegawai eksekutif atau pengarah urusan.
Hasil penyelidikan ‘Women in Business’ oleh Grant Thornton International Ltd. mendapati, peratusan pegangan wanita dalam jawatan kanan kepimpinan di Malaysia merosot kepada 23 peratus berbanding 28 peratus yang direkodkan pada bulan Mac tahun lalu.
Menurut perkhidmatan rangkaian profesional global itu lagi, kesaksamaan gender bagi jawatan peneraju masih jauh lagi.
Laporan itu mendedahkan 16 peratus daripada responden mendakwa kekurangan akses kepada peluang pembangunan pekerjaan dan tanggungjawab penyayang di luar waktu kerja sebagai halangan dalam mencapai kedudukan pengurusan kanan.
Manakala, 14 peratus responden berkata, mencari masa seiring dengan tanggungjawab teras pekerjaan juga merupakan halangan untuk menjadi eksekutif.
Pengarah Bersama Negara Grant Thornton Malaysia, Datuk NK Jasani berkata, wanita bekerja memerlukan lebih banyak sokongan bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab di luar waktu kerja.
Ini kerana kebanyakan wanita terpaksa meninggalkan kerjayanya untuk menjaga anak-anak.
Katanya, kerajaan telah mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di semua pejabat kerajaan dan yang pertama akan ditubuhkan di Parlimen dan mula beroperasi tahun ini.
Kemudahan pusat ini sejajar dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan penyertaan wanita lebih aktif dalam politik, pembuatan dasar dan tenaga kerja.
Katanya, syarikat-syarikat korporat juga digalakkan untuk mengikutinya kerana ia akan menggalakkan wanita untuk kembali bekerja.
Kajian berkenaan menunjukkan 63 peratus perniagaan di Malaysia mengambil tindakan untuk meningkatkan kepelbagaian jantina.
Sebanyak 26 peratus perniagaana tempatan menyediakan mentor dan latihan untuk wanita dan 25 peratus lagi melaksanakan waktu kerja fleksibel.
Sementara itu, sekurang-kurangnya terdapat seorang wanita dalam tahap pengurusan kanan di negara ini pada tahun ini. Ia merupakan kenaikan sebanyak 15 peratus dari tahun lalu berbanding 87 peratus perniagaan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengurusan kanan wanita di peringkat global.
Angka itu menyaksikan kenaikan 12 peratus berbanding tahun 2018 manakala wanita mewakili 29 peratus dalam kumpulan pengurusan kanan – kadar tertinggi yang pernah direkodkan. – MalaysiaGazette