Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong

KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong berkata Kabinet bersetuju untuk membuat pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi.

Beliau berkata, persetujuan untuk meminda perlembagaan berkenaan telah dibuat semasa mesyuarat Kabinet Rabu lepas dan ia adalah satu langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pindaan perlembagaan ini akan dibentangkan kepada Parlimen pada persidangan yang dijadual bermula 11 Mac ini dan untuk merealisasikan pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga majoriti Anggota Parlimen di Dewan Rakyat.

“Pakatan Harapan (PH) mempunyai 135 Anggota Parlimen termasuk sembilan daripada Warisan dan satu daripada UPKO. Untuk mendapatkan sokongan dua pertiga, kita memerlukan 148 Anggota Parlimen. Namun saya amat yakin bahawa semua Anggota Parlimen di Sabah dan Sarawak akan memberi sokongan sepenuhnya untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai dua wilayah berasingan dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Forum Keadilan Restoratif – Alternatif kepada Pemenjaraan, di sini hari ini.

Liew berkata, untuk mengambalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63, adalah sangat bertepatan dimulakan dengan meminda perkara Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan membuatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.

“Selepas pindaan itu Sabah dan Sarawak bukan lagi dikenali sebagai ‘Negeri’ dan banyak lagi perkara yang kami akan laksanakan selepas itu untuk memastikan semua hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dapat dilindungi.

“Kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ketua Menteri Sabah dan Sarawak kerana mengambil berat tentang usaha ini (mengambalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63). – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast