KUALA LUMPUR – Tepat bagai diduga, penghapusan tol oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibuat semasa PRU-14 hanya janji manis untuk mengaburi mata pengundi.
Ia jelas terbukti menerusi pengumuman kerajaan yang antara lain menyatakan satu rundingan bersama Gamuda Berhad sedang berjalan untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang.
Pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu juga menyatakan inisiatif itu adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan pada PRU-14.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI), Tan Sri Dr. Kenneth Eswaran berkata dengan pandangan peribadinya, jelas janji itu adalah satu percanggahan dengan manifesto yang diuar-uarkan selama ini kononnya kerajaan akan mengkaji perjanjian semua konsesi lebuh raya jika berjaya mengambi alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).
“Dengan terang disebut dalam manifesto itu bahawa PH akan mencari kaedah terbaik dalam usaha tidak membebankan rakyat menerusi sesi rundingan semula untuk menghapuskan semua tol sedia ada.
“Tetapi dalam saranan terbaru itu, kerajaan berkata akan memperkenalkan caj kesesakan (congestion charge) untuk waktu puncak selama enam jam sehari, iaitu berlawanan dengan apa yang dijanjikan selama ini,” katanya.
Bercakap kepada Malaysia Gazette hari ini, Kenneth berkata, umum mengetahui sebilangan besar lebuh raya bertol dibina sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad menyandang jawatan Perdana Menteri keempat.
“Pada era itu, ada sejumlah besar lebuh raya bertol memulakan pembinaan iaitu Laluan Ekspress Lembah Klang (NKVE) pada tahun 1990, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (NSECL) pada 1997, Lebuh Raya Shah Alam (SAE) pada 1997, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) pada 2004, Terowong SMART pada 2007, Lebuh Raya Maju dibuka pada 2007 dan Lebuh Raya Duta Ulu Klang (DUKE) pada 2009.
“Kesemua lebuh raya ini dibina bagi mengurangkan waktu perjalanan dan menambah baik sistem pengangkutan negara justeru kadar tol dikenakan tidak seharusnya membebankan pengguna,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun dicemuh ramai namun hakikatnya berjaya memansuhkan sebanyak 11 plaza tol dan menambah jumlah rebat bagi memudahkan rakyat.
“Ini nampaknya tidak berlaku pada kerajaan sekarang yang dilihat sering memberi kenyataan bercanggah dengan manifesto dilaungkan selama ini.
“Apa yang konsisten hanyalah sikap menyalahkan kerajaan terdahulu dan berteka-teki dengan rakyat sedangkan mereka memberi sepenuh kepercayaan menerusi undi pada PRU-14 lalu,” tegas beliau.
Sebagai kerajaan yang dipilih, Kenneth berkata, adalah menjadi kehendak rakyat untuk melihat semua pemimpin menunaikan janji masing-masing dan bukan hanya menuding jari kepada pemerintah terdahulu.
Rakyat katanya, dahagakan pencapaian cemerlang bagi memastikan tindakan menukar kerajaan hampir 10 bulan lalu bukan satu keputusan sia-sia.
“PH tewas dua kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini dan ia jelas membuktikan bahawa rakyat sudah mula bersuara.
“Jika suara ini masih tidak didengari dan diabaikan, maka mereka sudah boleh mula bersedia ‘menikmati’ kekalahan pada PRU-15 nanti,” katanya memberi amaran. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/23/4-tol-dicadang-hapus-ganti-caj-kesesakan/
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/23/patut-sudah-lama-ph-hapus-tol-najib/