Mohamad Azra Abd Razak hero di sebalik misteri 47 warga Malaysia di penjara Kemboja. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2019

Gempar seketika apabila ada laporan seramai 47 warga Malaysia menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia dan ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja pada pertengahan bulan lepas.

Daripada kesemua mereka yang ditahan, 44 orang berasal daripada Sarawak dan lebih kurang 10 orang adalah gadis muda yang berusia antara 18 hingga 20 tahun

Mereka dibawa ke Kemboja oleh sebuah agensi pekerjaan yang menjanjikan pekerjaan dan gaji lumayan dalam mata wang dollar Amerika.

Setibanya di Kemboja, anak-anak ini ditempatkan di sebuah rumah persendirian tanpa mendapat pekerjaan yang dijanjikan.

Selang beberapa hari kemudian, mereka ditahan oleh polis Kemboja kononnya atas tuduhan permainan perjudian dalam talian.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang menafikan tuduhan tersebut telah ditahan selama seminggu di lokap polis dan dipindahkan ke Penjara Daerah kira-kira 446 kilometer dari Ibu Kota Kemboja pada 16 Disember tahun lalu sehingga hari ini.

Pihak berkuasa negara ini langsung tidak dimaklumkan tentang kejadian tersebut, tidak ada sesiapa yang tahu apakah sebenarnya berlaku.

Umum hanya mengetahui tentang berita tersebut pada Februari manakala Wisma Putra pula mendapat makluman penahanan itu secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.

Apa yang umum tidak tahu, ada seorang lelaki bergelar ahli perniagaan bertindak bersendirian dalam cubaan menjejaki salah seorang daripada mangsa sehingga ke Kemboja menggunakan wangnya sendiri.

Namanya hanya diketahui apabila salah seorang daripada keluarga mangsa  ‘membocorkan’ nama ‘Uncle Azra’ ( http://www.bernama.com/en/news.php?id=1693030 ) kepada media dengan linangan airmata mengucapkan terima kasih kepada lelaki misteri yang rata-rata rakyat Malaysia tidak kenali.

MGF27022019_AZRA ABD RAZAK_10
Mohamad Azra Abd Razak menunjukkan gambar-gambar beliau ketika misi menjejaki 47 warga Malaysia yang dipenjara di Kemboja. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2019

 MalaysiaGazette Kasthuri Jeevan cuba menjejaki ‘Uncle Azra’ ini yang pada awalnya bukan sahaja menolak untuk ditemuramah malah berterusan merendah diri dengan mengatakan ramai pihak telah membantu dan cukuplah apabila semuanya selamat pulang.

Setelah dipujuk, akhirnya Uncle Azra atau nama sebenarnya, Mohd Azra Abdul Razak, 37, sanggup menceritakan pengalaman beliau yang bukan sahaja yang pertama menjejaki 47 rakyat Malaysia sebaliknya sanggup bersusah senang untuk membawa mereka pulang.

Azra yang ditemui di kediaman beliau baru-baru ini bercerita tentang suka duka yang bukan sahaja dilalui 47 rakyat Malaysia ini sebaliknya cabaran yang ditempuhinya untuk membawa mereka pulang.

Ketika menceritakan pengalaman beliau, untuk seketika kami ‘team’ MalaysiaGazette sedikit ternganga apabila Azra memberitahu beliau bukan sahaja terpaksa berulang alik lebih lapan kali dari Malaysia ke Kemboja antara 27 Disember sehingga 17 Februari lepas, malah banyak lagi perkara ‘pelik’ pahit manis telah dilaluinya.

Azra yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan hujung tahun lepas terpaksa meninggalkan isterinya demi dalam misi pencarian anak seorang kawan beliau yang tinggal di sebuah kawasan hulu di Sarawak.

Tentunya cabaran pertama adalah masalah komunikasi lantaran rata-rata penduduk di Kemboja tidak pandai berbahasa Inggeris dan Azra sendiri asing dengan bahasa ibunda negara tersebut.

MGF27022019_AZRA ABD RAZAK_06
Mohamad Azra Abd Razak berkongsi pengalaman menjejaki 47 warga Malaysia dalam penjara Kemboja. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2019

Kerja ‘gila’

Sejak tiba di negara asing dan miskin dengan pelbagai infrastruktur itu, Azra menghadapi pelbagai cabaran lain termasuk kesukaran untuk mendekati pegawai-pegawai kerajaan, peguam, masyarakat setempat dan sebagainya.

Jelasnya, untuk mendekati mereka dirinya terpaksa memainkan pelbagai peranan termasuk menjadi tukang masak sementara, berkawan dengan masyarakat setempat seperti pemandu ‘tuk tuk’, duduk berjam-jam di luar agensi kerajaan, bermain futsal bersama pegawai penjara, hadir pelbagai majlis seperti makan malam serta tarian.

Juga berkawan serta berjinak-jinak dengan media tempatan. Semuanya dilakukan dengan penuh rasa sabar. Untuk mengikut saluran rasmi tentunya mengambil masa, justeru bagi Azra budi bicara serta menjadi sebahagian daripada masyarakat Kemboja mungkin laluan paling berbaloi.

Semuanya dilakukan kerana mahu menjadi lebih mesra dengan bukan sahaja masyarakat setempat sebaliknya juga rapat dengan semua pegawai-pegawai kerajaan dari ranking bawah sehingga ke atasan.

“Pada mulanya, sekitar 23 Disember saya mendapat panggilan telefon daripada seorang kenalan yang saya kenal sejak berbelas tahun di Sarawak yang mengatakan anaknya, Yusuf Islam Abdul Halik telah ditahan di sebuah penjara di Kemboja.

“Suara kenalan saya dalam keadaan cemas, ketakutan dan risau apatah lagi mereka bukan sahaja hidup dalam kedaifan sebaliknya mereka juga tidak boleh ke luar negara sehingga ke Kemboja untuk mencari anaknya. Kata mereka, keluarganya telah dihubungi Yusuf mengatakan dirinya sudah ditangkap di Pnom Penh.

MGF27022019_AZRA ABD RAZAK_07
Mohamad Azra Abd Razak berkongsi pengalaman menjejaki 47 warga Malaysia dalam penjara Kemboja. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2019

“Saya menelefon beberapa kenalan saya di negara itu bagi mendapatkan sedikit maklumat tentang anak lelaki kawan, masalah jarak dan komunikasi yang sangat terbatas menyebabkan saya tidak berjaya mendapat apa-apa, kemudian Saya ambil keputusan pergi sendiri ke Kemboja.

“Berdasarkan maklumat keluarganya, saya bersama kenalan cuba mencari Yusuf di penjara Pnom Penh di ibu kota namun tiada hasil, tidak ada langsung rekod berkaitan tangkapan Yusuf.

“Sebelum itu, saya telah ke Kedutaan Malaysia terlebih dahulu namun makluat berkaitan Yusuf tiada. Memang kusut dan bimbang juga ketika itu. Usah cakap kena tahan, rekod kehadirannya ke sana juga tiada.

“Untuk sehari dua saya berlegar-legar mencari di semua tempat, termasuk hospital, pusat tahanan seandainya rakyat asing yang ‘overstay’ di negara itu. Juga tiada sebarang maklumat. Tidak ada sebarang rekod langsung. Bermacam-macam dalam fikiran saya pada masa itu.

“Ketika sedang kusut dan buntu, saya didekati sendiri oleh pemandu tuk tuk (beca) ketika mahu keluar mencari kedai makan. Ketika berbual dan bertanyakan mengapa saya nampak seperti tidak senang, saya memberitahunya tentang keadaan saya.

“Seperti ajaib, pemandu itu yang pada awalnya menyangka saya ini pelancong kemudian memberitahu saya ada rakyat Malaysia yang telah ditahan di Kemboja baru-baru ini. Malah angkanya sangat besar dan telah mendapat liputan daripada media tempatan. Terkejut saya dengar.

tuk tuk
Bersama pemandu tuk tuk yang memberi maklumat awal tentang rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja.

“Akhirnya saya dapat jumpa dengan berita tahanan Malaysia seramai 47 orang tetapi bukan di Pnom Penh sebaliknya di Poipet sempadan Thailand-Kemboja. Jaraknya dari ibu kota ke sana sahaja akan memakan masa sehingga sembilan hingga 10 jam dengan lebih 400kilomter jauhnya.

“Ketika itu, pihak kedutaan juga belum mendapat apa-apa maklumat berhubung penahanan tersebut. Saya dapat tahu mereka ini telah ditahan sejak 11 Disember di lokap polis sebelum di hantar ke Penjara Provinsi Banteay Meanchey jauh dari sini.

“Saya kemudian bergegas ke kedutaan untuk memaklumkan kepada mereka maklumat terbaru ini, kedutaan kemudian menghubungi pihak berkuasa dan pada hari yang sama iaitu 28 Disember, kita disahkan berita tahanan itu sahih.

“Tetapi kedutaan tidak pasti siapakah yang telah ditahan termasuk anak kawan saya, Yusuf turut tergolong dalam kumpulan ini. Ketika ditangkap, Yusuf ada menghubungi keluargnya untuk memaklumkan tentang penahanan itu, saya cuba hubungi nombor itu berkali-kali namun telah ditutup.

MGF27022019_AZRA ABD RAZAK_01

 

“Pihak berkuasa juga telah memberitahu kami jika mahu mengetahui maklumat berhubung tahanan, kami kena datang sendiri ke Banteay Meanchey sendiri. Tetapi untuk ke sana juga, bukan perkara mudah, bukan sahaja jaraknya jauh tetapi kena ada birokrasi yang perlu di lakukan oleh kedutaan.

“Saya kemudian mohon kedutaan untuk memberi bantuan seorang penterjemah yang saya boleh bawa bersama untuk mencari Yusuf di penjara berkenaan, walaupun hanya bergelar pemandu kedutaan, tetapi lelaki ini merupakan antara ‘hero’ sebenar berjaya membantu kita mendekati 47 tahanan kita.

“Namanya Sotty Haroun yang saya panggil sebagai ‘Pak Sotty’. Dia sangat membantu dan bukan bekerja apa yang perlu sahaja, dia yang berjaya menghubungi pihak berkuasa penjara selain bercakap dengan seorang banduan yang mempunyai telefon. Sepanjang malam Pak Sotty bersama saya cuba untuk menghubungi pihak dalam penjara tersebut.

“Saya mendapat khabar gembira bahawa bersama-sama tahanan lain, Yusuf juga tersenarai dan berada dalam keadaan selamat di situ. Saya sendiri dapat bercakap dengan Yusof. Saya sudah tahu lokasi sebenar.

“Saya cuba pergi sendiri ke penjara tersebut namun kerana ketiadaan pihak kedutaan, separuh jalan saya terpaksa berpatah balik ke ibu kota. Saya kemudian pulang ke Malaysia untuk berbincang dengan pihak berkuasa selain daripada kenalan rapat bagaimana mahu ke penjara tersebut dan melihat sendiri situasi,” katanya panjang lebar.

Kata Azra sejurus selepas beliau pulang ke Malaysia, hampir saban hari beliau berkomunikasi dengan kedutaan untuk bertanyakan sama ada kelulusan untuk membuat lawatan secara rasmi ke penjara berkenaan telah diperoleh.

Setelah hampir sebulan, pada 21 Januari, Azra dimaklumkan pihaknya boleh membuat lawatan untuk menemui Yusuf setelah semua prosedur birokrasi antara Wisma Putra dan kerajaan Kemboja selesai.

“Pada 21 Januari, saya kembali ke Kemboja dengan salah seorang wakil kedutaan Malaysia di Kemboja, kami berangkat ke Penjara Banteay Meanchey. Ketika sampai di penjara, walaupun pada asalnya, saya hanya datang untuk membantu membawa pulang Yusuf tetapi kemudian saya tengok 47 rakyat Malaysia ditahan di situ.

“Sungguh hiba dan terusik hati saya ketika itu sebenarnya. Mereka bukan sahaja Melayu, ada juga Cina, ada Iban, majoriti asalnya dari Sarawak. Tengok wajah-wajah itu, saya seolah-olah tidak dapat tinggalkan mereka begitu sahaja.

rakyat malaysia
Rakyat Malaysia yang ditahan.

“Daripada misi untuk menyelamatkan Yusuf, kini saya bertekad kesemua 47 rakyat Malaysia itu perlu diselamatkan dan dibawa pulang kembali ke negara kita. Saya tahu, untuk jejak Yusuf sahaja, saya telah berhempas pulas, bayangkan pula 47 orang.

“Namun itu tidak pula menghalang saya, saya bertekad. Saya tidak dapat tinggalkan mereka begitu sahaja,” ujarnya.

Tinggal di Banteay Meanchey banyak cabaran

Selepas mendapatkan semua maklumat berkaitan 47 rakyat Malaysia ini, Azra membuat keputusan untuk terus tinggal di Banteay Meanchey yang bukan sahaja hulu sebaliknya serba kekurangan.

“Saya buat inisiatif sendiri, cuba melakukan rundingan tidak rasmi terlebih dahulu kerana saya tahu jika melalui jalan ‘lurus’, maka mungkin ini akan mengambil masa yang sangat panjang. Ini kerana kesalahan yang dituduh sehingga menyebabkan kesemua mereka ditangkap adalah sesuatu tidak benar dan mungkin salah faham.

“Mereka dituduh membuat perjudian dalam talian secara haram walaupun kumpulan ini sebenarnya telah dibawa oleh ejen bagi tujuan mendapatkan kerja dengan gaji AS$1,500 sebulan. Tetapi tidak diberitahu ianya berkaitan dengan judi dalam talian. Saya tahu mereka ini tidak bersalah sebaliknya telah ditipu egen tidak bertanggungjawab.

“Banyak dugaan saya tempuhi ketika tinggal di kawasan ini, bukan sahaja terpencil malah sangat jauh dari bandar. Tempat begitu asing, tidak ada kenalan atau keluarga. Kedudukan Banteay Meanchey itu sendiri dalam peta Kemboja saya tidak pasti sebelum ini.

“Ada masalah komunikasi, saya pula orang luar dan asing untuk orang-orang di sini. Sebenarnya, apa lebih menggerunkan, langsung tiada pelancong di Banteay Meanchey ini. Hanya dipenuhi orang tempatan sahaja.

“Sementara pihak kedutaan berurusan dengan pihak berkuasa Kemboja, saya mahu terus tinggal dan mencuba nasib mempercepatkan proses itu, untuk itu saya perlu berjinak-jinak dengan bukan sahaja pihak penjara tetapi juga dengan mahkamah serta masyarakat setempat.

pegawai penjara
Pegawai penjara yang membantu memudahkan urusan Azra.

“Saya bina hubungan dengan pihak penjara seperti pengarahnya, dengan hakim, dengan pendakwa raya, orang tempatan mahupun media, pada awalnya itu memang sukar untuk saya dan mereka kerana masalah komunikasi, tidak semua boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Tapi aAhamdulilah, setelah seminggu dua, saya dan golongan ini sudah boleh menyesuaikan diri. Menjadi kawan mereka, mereka juga asyik tengok muka saya di mana-mana. Saya tunggu berjam-jam semata-mata mahu bercakap dengan mereka ini.

“Saya membuat kawan dengan Ketua Hakim Banteay Meanchey berbincang dengan beliau apakah antara langkah serta cara untuk membawa pulang kesemua mereka ini tanpa pendakwaan kerana jelas sekali mereka-mereka ini telah di tipu oleh agen pekerjaan.

“Dalam tempoh itu, saya juga ulang alik ke Kemboja dan Kuala Lumpur, memang penat tapi saya sanggup lakukan demikian kerana mahu mempercepatkan proses, wajah-wajah sayu yang memandang saya masih segar dalam kepala juga.

“Bayangkan kadang-kadang pegawai-pegawai ini tidak kira penjara atau mahkamah akan memanggil saya dan mahu bertemu dengan saya, memang saya terkejar-kejar apatah lagi jika berada di Kuala Lumpur atau Phom Phen ketika itu.

“Ketika tinggal di Banteay Meanchey, saya juga menghadapi masalah sukar menjumpai makanan halal, jika ada pun tutup seawal dua tiga petang. Oleh yang demikian, jika ada masa terluang, saya akan bekerja di restoran sebagai ‘chef’ dan juga pelayan semata-mata mahu mendapatkan makanan halal.

tukang masak
Azra berkesempatan `menukar kerjaya’ menjadi tukang masak.

“Itu juga mendekatkan saya dengan masyarakat setempat, dapat memahami mereka. Jika tidak ada makanan, saya hanya akan makan mee segera berhari-hari kerana tempat langsung tidak akses seperti bandar.

“Oleh kerana hubungan saya semakin rapat, maka dengan senang hati pihak penjara mula membenarkan saya datang ke penjara tanpa banyak proses birokrasi atau surat rasmi untuk melawat, saya dapat menghabiskan masa bertemu dan bercakap dengan semua tahanan yang ada di situ.

“Ada juga masa-masa saya dipanggil untuk menemani pegawai penjara ini bermain futsal sehingga saya telah menubuhkan pasukan futsal sendiri dengan mereka. Pegawai mahkamah yang mengetahui keakraban saya dengan penjara pula mula menjemput saya ke majlis makan malam dan persembahan tarian.

futsal
Bersama pasukan futsal penjara.

Rasa macam ‘wakil rakyat’

Kata Azra, selain sudah mempunyai akses kepada sebuah restoran makanan halal yang memberikan peluang kepadanya menikmati makanan lebih baik selain mee segera, dirinya juga mendapat jemputan-jemputan rasmi lain.

“Ini merupakan tempoh rundingan saya dengan pihak-pihak kerajaan, mencari alternatif terbaik bagaimana boleh memberi peluang kepada kita membawa pulang kesemua 47 rakyat Malaysia.

“Namun keadaan masih sukar kerana tidak senang seperti yang kita sangka, walaupun mempuyai hubungan baik dengan mereka-mereka ini sehingga memberikan saya akses untuk melawat rakyat kita dalam penjara pada bila-bila masa namun untuk membawa mereka keluar terus dari negara ianya masih sukar.

mahkamah
Pasukan perundangan yang membantu urusan membawa pulang rakyat Malaysia.

“Saya cuba juga lakukan rundingan sendiri seperti bercakap dengan hakim, pendakwa raya, pengarah penjara serta pegawai mahkamah sehingga 30 Januari namun jalan buntu juga. Mereka baik dengan saya, boleh makan bersama-sama, boleh main bola tapi dalam isu ini, ianya sukar juga,” katanya.

Tetapi kerana hubungan yang terbina antara mereka dan Azra, beliau telah diberikan akses beberapa kali tanpa perlu menggunakan pihak kedutaan untuk melawat, bercakap dengan tahanan antara 30 sehingga 1 Februari.

Balik ke Malaysia, sidang media

Azra kemudian pulang ke Malaysia sekali lagi ke Malaysia, kali ini dengan semua maklumat yang telah berjaya di kumpulnya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Chee Hua.

MGF27022019_AZRA ABD RAZAK_04
Mohamad Azra Abd Razak berkongsi pengalaman menjejaki 47 warga Malaysia dalam penjara Kemboja. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2019

Beliau menceritakan situasi terkini dan juga keadaan 47 rakyat Malaysia yang juga semakin hari semakin tertekan kerana sudah ditahan lebih dua bulan di negara itu.

“Pada 7 Februari, Larry bersama-sama keluarga mangsa-mangsa ini telah membuat sebuah sidang media membuat rayuan kepada semua pihak untuk tampil membantu membebaskan kesemua mereka.

“Larry bersama-sama pihak Wisma Putra dan Kerajaan Negeri Sarawak selain daripada campur tangan dari kerajaan persekutuan telah memberi kita ‘lampu hijau’ bagi pembebasan rakyat kita di sana.

“Selepas sidang media itu, seperti yang anda maklum semua orang tampil bukan sahaja membantu dan menghulur bantuan sebaliknya kerajaan Kemboja melalui campurtangan Perdana Menteri Hun Sen.

“Bukan sahaja pihak berkuasa kita sebaliknya badan bukan kerajaan dan media juga telah memainkan peranan yang cukup besar dan bermakna sehingga menjadikan ini kenyataan, saya sendiri tidak menyangka akhirnya penderitaan mereka di penjara selama berbulan dan penantian saya di sana membuahkan hasil.

“Rakyat Malaysia sendiri banyak memainkan peranan dalam membawa pulang ke semua mereka ini kembali dengan selamat, kerajaan Kemboja akhirnya tanpa mengenakan apa-apa syarat telah membebaskan kesemua 47 tahanan kita pada 15 Februari lepas.” jelas Azra.

Jelas Azra lagi, beliau tidak menamakan secara khusus setiap nama yang sama-sama membantu selain mengadakan lawatan ke penjara serta menghulurkan pelbagai jenis bantuan namun katanya hanya dengan kerjasama serta sepakat keseluruhan rakyat Malaysia tidak kira fahaman politik, semuanya dapat dibawa pulang dengan dengan selamat.

“Saya rasa begitu gembira, tidak terkata. Ini adalah satu pengalaman. Banyak yang saya lalui akhirnya saya seolah-olah menjadi salah seorang daripada mereka selama hampir dua bulan itu. Rundingan tidak rasmi itu saya kira berjaya kerana saya dapat memahami selok belok dengan baik, mereka juga adalah masyarakat penyayang serta prihatin sebenarnya.

“Saya bangga kerana sebagai rakyat Malaysia, ini adalah satu tanggungjawab bersama dan apa yang saya lakukan ini adalah amanah yang saya pastinya ada ramai lagi rakyat kita akan pikul bersama-sama apatah lagi sekiranya melihat warga Malaysia susah di luar sana lag-lagi di negara lain.

“Saya sendiri rasa seperti hidup di negara sendiri dengan keluarga saya sendiri setelah sekian lama di situ, semuanya baik dan peramah. Ini sebenarnya satu pengalaman yang sungguh berharga, hanya kerana saya mahu mencari Yusuf Islam, akhirnya saya telah mendapat kawan dan keluarga di negara asing ini,” ujarnya.

MGF27022019_AZRA ABD RAZAK_08
Mohamad Azra Abd Razak berkongsi pengalaman menjejaki 47 warga Malaysia dalam penjara Kemboja. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2019

Modus operandi ejen tipu

Azra menambah insiden ini berlaku kerana kemiskinan yang begitu mencengkam rata-rata penduduk di Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan pedalaman, rata-rata agen ini pandai memasang jerat.

Terpesona dengan janji manis berupa gaji lumayan menjadi penyebab utama penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Sebahagian besar yang ditahan adalah anak muda gara-gara termakan dengan taktik licik sindiket yang menjadikan kumpulan masyarakat daripada keluarga miskin di luar bandar sebagai sasaran utama.

“Kebanyakan daripada anak Sarawak yang ditahan di pusat tahanan di negara itu adalah Iban. Mereka ditipu sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dengan memperdaya mereka terutama di kawasan luar bandar.

“Kita mendapat maklumat bahawa pemergian mereka ke Kemboja dibuat secara berperingkat dengan ada di antara mereka perlu membayar sebanyak AS$100 hingga AS$200. Kita tidak dimaklum bekerja sebagai apa, namun mereka dijanjikan gaji lumayan dan itu penyebab mengapa mereka menerimanya.

“Kerajaan perlu tampil membantu menangani isu ini kerana ianya masih lagi berlaku di kawasan-kawasan pedalaman yang rata-ratanya tidak ada akses kepada pelbagai kemudahan lain serta pemahamaan, apa yang mereka faham adalah penderitaan dan kena keluar dari belenggu kemiskinan,” tegasnya. –MalaysiaGazette