Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulop Abdullah bercakap kepada media selepas membuat laporan polis mengenai perhimpunan LGBT di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis menggesa tindakan diambil terhadap penganjur perhimpunan Hari Wanita Sedunia yang berlangsung di Dataran Merdeka, pada Sabtu lalu.

Wakil NGO tersebut, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, tindakan penganjur yang membenarkan peserta yang memperjuangkan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) turut berarak dan melaung slogan LGBT jelas telah menipu pihak berkuasa.

“Pihak polis perlu segera menyiasat penganjur perarakan kerana mereka telah menyalahgunakan kebenaran yang diberikan.

“Mereka minta lain (permohonan) tapi masa perhimpunan buat lain. Polis pun kena tipu dengan penganjur.

“Tak logik kalau perhimpunan itu kena ceroboh oleh penyokong LGBT kerana kalau mereka rasa bertanggungjawab, akan suruh penyokong itu balik dan henti daripada beri peluang berucap atas pentas,” katanya kepada media di sini.

Laporan polis tersebut dibuat wakil NGO diketuai Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

NGO lain yang turut terlibat ialah, Akhlak Rahsia Cekal (ARC), CEGAS, Refomis, KMM, PEBAKTIM dan MIM.

Mengulas lanjut, Rani berkata pihaknya berharap kerajaan serius dan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur terbabit yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

“Benda ini senang, kerajaan cakap terus-terang LGBT adalah haram dan jangan goyang buat pendirian,” – MalaysiaGazette