Orang ramai melihat dari dekat serpihan pesawat Ethipian Airlines yang terhempas dalam penerbangan ke Nairobi. foto Agensi

WASHINGTON – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) percaya pesawat Boeing 737 Max 8 adalah model kapal terbang yang boleh dipercayai.

Kenyataan itu dibuat susulan nahas membabitkan model pesawat itu milik Ethiopian Airlines semalam.

Ketika kejadian pesawat itu dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi. Ia terhempas selepas enam minit berlepas, mengorbankan 157 orang penumpang.

Ia merupakan insiden kedua selepas model pesawat yang sama milik Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pada Oktober tahun lalu, mengorbankan 189 orang.

Berikutan kejadian itu komuniti penerbangan termasuk China dan Ethiopia meminta pesawat itu tidak digunakan sehingga siasatan penuh selesai.

FAA berkata, pesawat itu selamat untuk terbang.

Bagaimanapun, Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Elaine Chao berkata, FAA perlu mengambil tindakan segera dan sesuai untuk membaiki masalah dalam pesawat berkenaan.

Saham Boeing susut 12.9 peratus susulan nahas tersebut.

Paul Hudson, Presiden FlyersRights.org dan juga ahli Jawatankuasa Penasihat Pembuat Dasar Penerbangan FAA juga meminta supaya pesawat itu dihentikan penggunaannya buat sementara.

Pesawat Ethiopian Airlines itu terhempas berhampiran bandar Bishoftu, kira-kira 60 kilometer dari tenggara ibu negara.

Punca kejadian tidak diketahui tetapi juruterbang dilaporkan mengalami masalah dan telah meminta untuk berpatah balik ke Addis Ababa.

Perakam suara dan perakam data penerbangan digital pesawat itu telah ditemui.

Kebolehlihatan dikatakan baik tetapi pemantau lalu lintas udara Flightradar24 melaporkan “kelajuan menegak tidak stabil selepas berlepas”.

Juruterbang pesawat, Kapten Kanan Yared Getachew merupakan seorang juruterbang yang mempunyai prestasii baik dan sudah berada di udara lebih daripada 8,000 jam.

Saksi-saksi yang bekerja di ladang memberitahu mereka terdengar bunyi bising daripada pesawat.

“Ketika ia berlegar-legar terdapat api di bahagian ekor, ia cuba menaikkan bahagian muncung.

“Apabila ia melalui kawasan rumah kami, muncung pesawat ke bawah dan bahagian ekor pesawat berada di atas lalu terjunam dan meletup,” ujarnya. – MalaysiaGazette