KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mengurangkan lagi kadar cukai korporat apabila keadaan fiskal kembali pulih dalam masa tiga tahun.
Ia merupakan penyusunan semula sistem percukaian negara berdasarkan konsep berkongsi kemakmuran.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga telah merendahkan cukai korporat bagi Perusahaan Kecil
dan Sederhana (PKS) dengan modal berbayar sebanyak RM2.5 juta ke bawah dari 18 peratus kepada 17 peratus bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor tersebut.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanya adakah kerajaan akan menstruktur semula sistem percukaian negara secara holistik bagi memastikan setiap lapisan rakyat dapat merasai konsep perkongsian kemakmuran setelah kerajaan dilihat gagal menangani permasalahan ekonomi negara yang menyebabkan keresahan dalam kalangan golongan M40 dan B40.
Selain itu, tambahnya, penyusunan semula cukai melalui pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pemulangan semula tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan syarikat dan individu telah menyumbang kepada penurunan kadar inflasi.
Ini terbukti apabila inflasi pada bulan Jun-Disember 2018, iaitu semasa tempoh GST tidak lagi dikenakan berada pada kadar 0.6 peratus sahaja berbanding dengan 1.7 peratus pada tempoh Januari-Mei 2018 semasa GST berkuatkuasa.
Malah pada Januari 2019, dasar kerajaan telah menyumbang kepada penurunan Indeks Harga Pengguna yang jatuh 0.7 peratus.
Ini adalah penurunan harga yang pertama dalam masa 10 tahun dan kerajaan sedang berusaha memastikan supaya penurunan harga ini dapat dinikmati oleh golongan M40 dan B40. – MalaysiaGazette