Peguam Negara India bercadang untuk mendakwa akhbar terbesar negara itu The Hindu dibawah Akta Rahsia Rasmi India kerana menyiarkan dokumen rahsia kerajaan urusan pembelian rafale.

NEW DELHI – Peguam terkemuka memberitahu Mahkamah Agung India terdapat kemungkinan saman jenayah akan difailkan ke atas akhbar, The Hindu di bawah Akta Rahsia Rasmi India tidak lama lagi.

Tindakan saman itu diambil berikutan tindakan akhbar terbesar India itu menyiarkan dokumen kerajaan yang ‘dicuri’ yang dikatakan mempunyai maklumat mengenai urusan pembelian 36 buah jet pejuang Rafale dari Perancis.

Peguam Negara, K.K. Venugopal dalam hujahnya berkata, dokumen yang disiarkan The Hindu itu tidak harus diperiksa oleh mahkamah yang sedang meneliti permohonan pempetisyen mendedahkan bagaimana bidaan itu ditawarkan.

Tambah beliau kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mendakwa The Hindu di bawah Akta Rahsia Rasmi India yang memperuntukkan rahsia kerajaan harus dilindungi.

N. Ram penulis artikel mengenai dokumen pembelian Rafale itu serta Pengerusi Kumpulan Percetakan The Hindu sebagai mempertahankan tindakannya itu berkata, mereka menyiarkan berita itu atas kapasiti kepentingan umum.

“Tidak ada apa apa untuk dirisaukan, apa yang kami siarkan adalah sah di sisi undang dan kami tetap dengan tindakan itu,” kata Ram kepada Reuters.

India menempah pesawat jet pejuang Rafale bernilai AS$8.7 bilion daripada France Assault Aviation yang merupakan  sebahagian daripada program pemodenan tentera udara.

Namun urusaniaga itu disusuli dakwaan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi berbelanja besar untuk pembelian Rafale dan memaksa syarikat itu menerima syarikat ahli perniagaan India, Anil Ambani iaitu Reliance Defence sebagai rakan strategik mereka.

Syarikat pertahanan yang dimiliki Ambani dikatakan tidak mempunyai kepakaran atau pengalaman dalam urusan sektor pertahanan negara. – MalaysiaGazette