KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penaja Parti Putra hari ini mengemukakan permohonan semakan kehakiman ke atas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Presiden penaja, Datuk Dr. Ibrahim Ali bersama peguam, Khairul Azam Aziz menyerahkan dokumen itu kira-kira jam 10 pagi di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini untuk mendapatkan jawapan berhubung status permohonan parti itu.
Menurut Ibrahim berkata, pihaknya telah menghantar permohonan secara atas talian pada 13 Ogos lalu dan 17 Ogos menyerahkan borang ke pejabat ROS di Putrajaya.
“Tempoh permohonan itu sudah melebihi enam bulan daripada tarikh ditetapkan dan sepatutnya ROS sudah memberi jawapan kepada kami sama ada lulus atau tidak.
“Selepas 13 dan 17 Ogos, kami mengadakan beberapa perjumpaan dengan pihak ROS selepas dipanggil untuk perbetulkan apa yang perlu diperbetulkan dalam borang permohonan itu.
“Semua maklumat diperlukan dari segi perlembagaan telah selesai diisi, tetapi sehingga hari ini, tiada sebarang jawapan diberikan,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini hari ini.
Ibrahim berkata, jawatankuasa itu terpaksa menunggu lama dan bersabar apabila berdepan dengan pelbagai kerenah sehingga pada 5 Disember lalu, pihaknya telah menyempurnakan segala kehendak diperlukan oleh ROS.
Beliau dukacita, kesal dan sedih kerana permohonan yang dibuat mengikut peraturan SOP didiamkan begitu sahaja.
“Sampai sekarang kami tidak mendapat apa-apa berita sehinggalah kami menghantar surat notis 14 hari untuk ROS menjawab status permohonan kami itu.
“Kita sedia maklum, Malaysia adalah negara demokrasi, setiap rakyat berhak dan bebas untuk bersuara, bebas menubuhkan persatuan, bebas menubuhkan parti politik asalkan ia mengikut peraturan dan kehendak ROS.
“Tetapi kami dinafikan hak kami. Kami seolah ditindas dan dizalimi. Saya tidak tahu kenapakah begini lama masa diambil ROS untuk meluluskan permohonan ini,” katanya.
Beliau berkata, mengikut Piagam Pelanggan ROS, segala-galanya diuruskan dalam masa lima hari.
Kata Ibrahim, mengikut peraturan yang diketahuinya, keputusannya hanya ada di tangan Ketua Pengarah ROS dan tidak ada kena mengena dengan pihak lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, ujarnya, beliau difahamkan permohonan penubuhan parti Putra itu dihantar kepada Menteri KDN.
“Saya tidak faham kenapa perlu dihantar kepada menteri? Kuasa Menteri KDN hanya membatalkan pertubuhan.
“Saya merayu dan berdoa agar permohonan ini diluluskan. Berilah peluang kepada kami rakyat Malaysia menggerakkan parti kami. Kita bukan orang penting atau hebat pun, jauh sekali setaraf tokoh besar seperti dalam parti lain.
“Kalau jawatankuasa penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengambil masa sebulan untuk lulus, kenapa permohonan saya untuk tubuh parti baharu Putra tidak diluluskan sehingga sekarang?” soal beliau. – MalaysiaGazette