Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Polis belum membuat sebarang tangkapan setakat ini berhubung kes pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang Johor yang kini telah memasuki hari kesembilan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan kes tersebut telah pun dimulakan, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan sehingga kini.

Kejadian tersebut telah menjejaskan lebih 2,000 mangsa yang kini dirawat di hospital berhampiran selain lebih 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang ditutup sehingga arahan lanjut.

“Setakat ini tiada tangkapan dalam kes Johor tapi siasatan sudah dibuka, dan 31 laporan polis diterima setakat ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 278 dan 284 Kanun Keseksaan.

“Ini yang dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor sebentar tadi tetapi siasatan masih berjalan,” katanya dalam sidang media di Pusat latihan Polis Jalan Semarak di sini.

Beliau terdahulu menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara oleh Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara wajib pada Ahad 17 Mac ini.

Jawtaan itu akan dipangku oleh Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkuatkuasa serta merta sehingga keputusan rasmi datang dari kerajaan selepas ini.

Dalam kes pencemaran kimia, tambah Mohamad Fuzi seramai 150 anggota dan pegawai polis melibatkan tiga platun ditempatkan di Pasir Gudang ditambah dengan kereta peronda MPV dan tugas am.

“Selain itu kita juga melakukan sekatan jalan dan pemeriksaan kenderaan di lokasi yang terjejas akibat pencemaran tersbeut dengan anggota yang bersiap sedia setiap masa,” ujarnya.

Ditanya laporan sebelum ini yang mendakwa kononnya suspek yang membuang bahan kimia jenis metana dalam sungai itu ditangkap, Mohamad Fuzi berkata, kenyataan itu tidak datang dari polis.

“Itu kita tak sebut ada pihak lain yang sebut tapi pihak PDRM tidak ada tangkapan, dan saya pun tak dimaklumkan syarikat mana yang terlibat tetapi usaha untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab di sebalik insiden ini sedang kita perhebatkan ketika ini dengan kerjasama lain-lain agensi kerajaan khususnya kementerian alam sekitar.

“Malah pihak jabatan kimia masih membuat analisa tentang kandungan toksik yang mencemarkan Sungai Kim Kim,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette