Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam sekeras-kerasnya perbuatan terkutuk pengganas membunuh umat Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali menyifatkan pengganas terbabit sebagai syaitan dan iblis yang tidak berhati perut apabila menembak secara rambang jemaah yang berada di masjid itu.

“Serangan ini adalah perbuatan sengaja yang mungkin sudah lama dirancang.

“Dunia dapat saksikan siapakah pengganas sebenarnya. Seluruh dunia wajib mengutuk perbuatan dajal ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah waktu New Zealand (11.30 pagi waktu Malaysia), seorang penembak yang menggelarkan dirinya sebagai Brenton Tarrant memasuki Masjid Al-Noor dan bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah yang sedang solat.

Insiden yang disiarkan secara langsung di laman sosial akaun facebook pengganas warga Australia berusia 28 tahun itu menyebabkan 49 maut dan 48 cedera.

Saksi memberitahu media tempatan, suspek memakai baju ala tentera dan membawa selaras senapang automatik melepaskan tembakan rambang di masjid itu.

Menurut Dr. Ibrahim, Perkasa menaruh harapan kerajaan New Zealand tegas bertindak menghukum pengganas itu tanpa sebarang tolak ansur.

“Sama-samalah kita berdoa semoga roh dan arwah mangsa dihisab sebagai mukmin dan muttaqin serta ditempatkan di syurga serta jannatul firdaus, aamiin,” katanya.

Sementara itu, Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) turut mengutuk serangan itu, yang mana masjid menjadi sasaran penembak yang tidak berperikemanusiaan.

Ketuanya, Senator Nuridah Mohd Salleh menyatakan, serangan tembakan rambang kini dikejutkan oleh dunia dan insiden itu berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat Jumaat di dua lokasi iaitu Masjid Al-Noor di Deans Ave dan Masjid Linwood di Linwood Ave.

“Difahamkan ada dua rakyat Malaysia, seorang bapa dan anak turut menjadi mangsa serangan.

“Kita sarankan pihak berkenaan di New Zealand mengambil tindakan segera dan mengenakan hukuman mandatori yang setimpal atas kejadian itu,” katanya.

Muslimat Pas menzahirkan rasa sedih dan takziah kepada mangsa dan keluarga yang ditimpa musibah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast