KUALA LUMPUR – “Saya akan tulis tentang polis dan pengorbanan polis supaya hendak menyatakan kepada rakyat bagaimana perngorbanan polis dalam menjaga keselamatan mereka dan keamanan negara”.
Itu kata bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim ke arah pemberita sejurus selepas Majlis Serah terima tugas jawatan nombor dua tertinggi polis kepada pemangkunya, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang kini merupakan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman di Pusat Latihan Polis hari ini.
Dengan wajah sedih dan dibasahi air mata, Noor Rashid berkata, ia penting untuk rakyat tahu tugas dan tanggungjawab polis yang penuh berisiko dalam menjamin keselamatan dan keamanan.
Katanya, setiap anggota dan pegawai polis mengikut kajian bekerja lebih 12 jam sehari dan itu pengorbanan besar yang perlu diterjemahkan dalam catitan bukunya kelak.
“Saya rasa apa yang saya lalui dan keluarga lalui menerusi pengorbanan bersama profesion polis akan ditulis supaya semua hormati polis selain meningkatkan moral warga PDRM.
“Dalam masa terdekat ini (mulakan penulisan) mungkin saya nak rehat sebulan dan akan memulakan dunia penulisan,” katanya yang bertugas sejak 35 tahun lalu.
Beliau merupakan Timbalan Ketua Polis Negara yang Ke-24 bersara wajib kali ini dan tidak pernah menyesal berkhidmat dalam PDRM.
Noor Rashid menyifatkan penghargaan yang diterima selama berkhidmat berdasarkan anugerah kebesaran merupakan satu penghormatan.
Ditanya mengenai hasrat untuk bercucuk tanam, beliau berkata, ia adalah hobi lama yang terpendam dan kini tiba masa untuk menceburi pertanian.
“Saya rasa itu hobi saya sejak kian lama.. saya suka duduk di hutan dan saya mahu tinggal lama di hutan.. jadi akan kembali semula ke hutan yang semulajadi dan cantik.
“Saya ada sebidang tanah di kawasan dekat Empangan Pedu, Kedah, sempadan negara. Jadi saya akan ada di sana selepas ini (bercucuk tanam) dan apa apa sahaja saya boleh tanam sebab nak enjoy my life,” ujarnya dtersenyum. – MalaysiaGazette