Temubual Malaysia Gazette bersama seorang penghuni Teratak Rafidah di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2019

RAWANG- Sekali imbas tidak ada yang ‘tak kena’ dengan gadis manis ini. Berusia 22 tahun, Ana (bukan nama sebenar) kelihatan ceria dan tersenyum ketika menyambut ketibaan kami di Rumah Perlindungan Sinar Salam, Teratak Arfidah dekat sini, semalam.

Dengan berbaju kurung bunga-bunga dan bertudung biru tua, Ana juga kelihatan cergas cuma sesekali kedengaran batuk kecil yang terhambur dari mulutnya. Dia tidak menunggu lama sebelum bercerita mengenai kisah dirinya yang cukup ‘tragis’ dan meruntun hati kami.

” Abang, saya ada HIV,” katanya ringkas.

MGF15032019_PENGHUNI TERATAK RAFIDAH_06
Temubual Malaysia Gazette bersama seorang penghuni Teratak Rafidah di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2019

Kami semua terdiam. Sebenarnya kami sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi terhadap pengakuan yang cukup mengejutkan daripada seorang gadis kecil molek ini. Ana seperti dapat mengagak perasaan kami walaupun puas kami cuba menyembunyikan ‘apa yang kami rasa’.

Ana memulakan temubual kami dengan mengatakan yang segalanya bermula apabila umurnya mencecah lapan tahun.Tambah anak bongsu daripada empat orang adik beradik ini, ketika dalam usia tersebut, dia sering diserang demam dan bintik-bintik merah seperti ruam tumbuh dengan ‘galak’ di tubuhnya.

” Saya dan adik beradik saya ketika itu dibela oleh nenek setelah ayah meninggal dunia diikuti emak tidak lama kemudian. Ketika itu saya baru Darjah 2, tak siapa pun bagitahu apa penyakit saya, yang saya tahu sejak daripada itu hari-hari saya terpaksa memakan ubat dalam kuantiti yang cukup banyak.

“Lama kelamaan baru saya tahu rupanya saya dijangkiti kuman HIV sewaktu masih dalam kandungan lagi, ini kerana ayah adalah penagih dadah. Kuman HIV daripada ayah kemudian menjangkiti emak sebelum ‘berpindah’ pada saya.

“Alhamdulillah kerana adik beradik saya yang lain bebas daripada virus ini, saya difahamkan ayah mula mengambil dadah setelah kelahiran kakak saya yang ketiga,” kata Ana.

MGF15032019_PENGHUNI TERATAK RAFIDAH_03
Temubual Malaysia Gazette bersama seorang penghuni Teratak Rafidah di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2019

Bertanya pada cikgu

Menurutnya, pada mulanya dia agak kebingungan kerana tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan HIV sehingga dia sering bertanyakan soalan mengenainya dengan rakan-rakannya di sekolah. Ujarnya, bila rakan-rakannya juga tidak tahu mengenai virus itu, dia mula bertanyakan soalan yang sama pada guru-gurunya.

Kata Ana, pada mulanya guru-gurunya berasa ‘pelik’ kerana dia sering bertanyakan soalan mengenai virus tersebut. Namun, ujar Ana, setelah dia memaklumkan pada gurunya yang darahnya mengandungi HIV, barulah mereka menerangkan padanya mengenai virus berkenaan.

“Terus terang bila saja tahu apa itu HIV, saya tidak dapat menerima kenyataan yang saya dijangkiti virus tersebut. Saya sering persoalkan mengapa saya dijangkiti virus itu sedangkan saya tidak pernah mengambil dadah.

“Akhirnya nenek yang beritahu ia berpunca daripada arwah ayah,” katanya.

MGF120319_LAPORAN KHAS BEKAS PENAGIH10
Seorang bekas penagih mengambil ubat pemulihan secara berjadual ketika membuat laporan khas perjuangan bekas penagih dadah di Persatuan Perlindungan Sinar Salam, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 MAC 2019

Ditanya mengenai rakan-rakannya, Ana memberitahu, dia tidak pernah menyembunyikan penyakitnya itu daripada pengetahuan mereka. Dia juga bersyukur kerana rakan-rakannya tidak mendiskriminasi dirinya dan menerima keadaannya dengan hati terbuka.

Kata Ana, begitu juga ketika di sekolah, dia menjalani proses pembelajaran dan aktiviti ko-kurikulum seperti biasa.

Menjadi gadis liar

Namun selepas tamat persekolahan, Ana mengakui, dia mula terbawa-bawa dengan perasaan ‘ingin tahu’ yang menebal hingga terlibat dalam pergaulan bebas terutama dengan rakan-rakan lelakinya.

Jelas Ana, kemuncak pada permasalahan itu apabila kakaknya terbaca mesej di dalam telefon bimbitnya yang dipenuhi dengan perbualan yang tak sepatutnya datang dari gadis sepertinya.

Malah, kata Ana, dia juga pernah memberontak dan bertindak lari daripada rumah sebelum berjaya ditemui dan dihantar ke rumah pemulihan akhlak.

MGF120319_LAPORAN KHAS BEKAS PENAGIH07
Antara ubat pemulihan bekas penagih yang disediakan ketika membuat laporan khas perjuangan bekas penagih dadah di Persatuan Perlindungan Sinar Salam, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 MAC 2019

“Ketika saya ‘hanyut’ , kesihatan saya sebenarnya makin merosot. Kuman HIV dalam tubuh badan saya semakin aktif. Dulu masa di kampung, nenek dan kakak saya sentiasa memantau pengambilan ubat, tetapi bila dah bercampur dengan rakan-rakan dan asyik dengan dengan keseronokan, saya mula mengabaikan semua itu. Dalam dok ‘enjoy’, saya sebenarnya makin merana.

“Saya bersyukur apabila diterima masuk ke Rumah Perlindungan Sinar Salam ini, saya kembali menjadi manusia dan mula ingat kata-kata nenek, kata dia kembalilah ke jalan Allah dan jangan tinggal solat, InshaAllah sembuhlah penyakit kau.

“Nenek juga kata sesuatu penyakit itu adalah adalah penebus dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Saya harap lepas keluar dari rumah perlindungan ini nanti, saya nak berubah dan ‘cantas’ segala benda negatif yang ada dalam diri, mungkin Allah nak beri benda yang lebih baik pada saya nanti,” kata Ana.

Ana kemudian menasihati mereka yang senasib sepertinya agar tidak merasa rendah diri dengan penyakit yang mereka hadapi.

Dia juga pada masa yang sama berharap agar anak-anak muda sepertinya menjauhi perbuatan negatif dan perbualan bebas agar tidak dijangkiti virus yang membunuh ini.

” Doktor pernah beritahu saya ada pesakit HIV beliau hidup sampai umur 70 tahun lebih, ramai juga yang berjaya sambung pelajaran tinggi-tinggi, jadi kenapa saya nak rasa ‘down’ walaupun saya ada HIV?

” Andai kata saya tak boleh sambung pelajaran pun, mungkin Allah nak bagi benda lain jadi takdelah hanya kerana ada HIV, saya nak duduk rumah semata-mata,” katanya.

MGF15032019_PENGHUNI TERATAK RAFIDAH_10
Temubual Malaysia Gazette bersama seorang penghuni Teratak Rafidah di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2019

Maafkan perbuatan ayah

Di akhir pertemuan kami, Ana berkata, beliau tidak pernah sama sekali berdendam apatah lagi menyimpan rasa marah terhadap ayahnya di atas segala apa yang berlaku.

Bahkan menurut Ana, dia sentiasa berdoa agar dosa ayahnya diampunkan dan roh Allahyarham dicucuri rahmat.

” Satu perkara yang ingin saya katakan pada abang, walaupun saya boleh diibaratkan sebagai mangsa keadaan kerana dijangkiti virus ini bukan kerana perbuatan sendiri tetapi sebab ayah, namun saya menerima takdir tersebut dan redha dengan apa yang terjadi.

” Saya memaafkan semua perbuatan ayah dan sebagai anak, dia tetap ayah saya dunia akhirat.

” Saya tak marah ayah sebab dia pun dah meninggal, malah kalau dia masih hidup sekalipun, saya tak boleh marah, saya terima hakikat (hidup saya),” katanya sambil merenung ke luar jendela. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast