WASHINGTON – Sebuah organisasi yang komited untuk menjatuhkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un adalah di belakang pencerobohan kedutaan Korea Utara di Sepanyol pada bulan lalu, menurut The Washington Post yang memetik mereka yang biasa dengan rancangan dan pelaksanaan misi tersebut.

Akhbar tersebut yang tidak mendedahkan sumber itu mengenalpasti kumpulan tersebut sebagai Cheollima Civil Defense yang juga menggunakan nama Free Joseon.

Ia berkata, kumpulan itu menjadi terkenal pada 2017 selepas memindahkan sepupu Jong Un dari Macau apabila menerima ancaman terhadap nyawanya.

Sumber Washington Post berkata, kuimpulan itu tidak bertindak dalam pengawasan sebarang kerajaan dan agensi perisik Amerika Syarikat (AS) enggan terlibat berikutan sensitiviti masa misi tersebut terhadap sidang kemuncak antara Jong Un dan Presiden Donald Trump di Hanoi pada 27 dan 28 Februari lalu.

Menurut media Sepanyol, sumber Kementerian Luar Sepanyol mengesahkan sebuah kumpulan yang merangkumi lelaki tidak dikenali telah memasuki kedutaan Korea Utara di Madrid pada 22 Februari lalu dan berlalu pergi dengan membawa komputer empat jam kemudian.

Tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab.

Kumpulan tersebut yang dikenalpasti Washington Post tidak dapat dihubungi untuk ulasan dan laman sesawangnya tidak menyatakan sebarang pembabitan dalam serbuan tersebut.

Pada 25 Februari lalu, laman sesawang tersebut menyiarkan kenyataan yang menyatakan kumpulan itu telah ‘menerima permintaan bantuan daripada rakan di negara Barat tertentu’ dan ‘keadaannya adalah terlalu bahaya tetapi (kami) bertindakbalas’.

Kumpulan itu berkata, pengumuman penting akan dilakukan dalam minggu mendatang tetapi tiada maklumat lanjut mengenai sebarang operasi didedahkan.

Kedutaan Korea Utara di Madrid adalah lokasi perunding peringkat ketua kerja negara itu melakukan rundingan dengan AS yang mana Kim Hyok Chol menjadi duta sehingga 2017.

Pakar risikan berkata, komputer dan telefon dilaporkan dirampas dalam serbuan itu dan ia dicari-cari oleh agensi risikan asing memandangkan mungkin terdapat maklumat mengenai Kim Hyok Chol dan lain lain.

Ditanya mengenai laporan Washington Post itu, Jabatan Negara AS merujuk pertanyaan itu kepada pihak berkuasa Sepanyol manakala Agensi Perisikan Pusat (CIA) enggan mengulas. – Agensi