KUALA LUMPUR – Ibarat ‘menjilat balik ludah sendiri.’

Itu antara komen berkenaan isu Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mahu menyekat  semula peminjam yang disenaraihitam ke luar negara jika mereka gagal membayar balik pinjaman.

Itu dinyatakan oleh pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini yang turut mendapat kecaman netizen.

Walaupun sudah menjelaskan kenyataannya itu disalah tafsir kerana ia antara beberapa cadangan sahaja namun yang dikumpul daripada pemegang taruh dan pelbagai pihak dari seluruh negara tentang hala tuju PTPTN namun ia masih tidak memuaskan hati ramai pihak.

Ini kerana antara faktor kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) ialah menggunakan isu PTPTN namun apabila menang ia tidak tertunai seperti cadangan memansuhkan hutang dan sebagainya.

Malah tindakan kerajaan terdahulu yang mengenakan sekatan dengan menyenarai hitam kepada mana-mana yang gagal membayar kembali hutang PTPTN sering dijadikan modal PH menyebarkan rasa benci terhadap BN sebelum terutamanya dalam kalangan muda.

Terbaharu, anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Yana dalam laman sosial Instagram menyindir Wan Saiful.

Kata Yana, ramai golongan muda telah mendekati dirinya dan melahirkan rasa terkilan serta kecewa dengan politik serta pimpinan politik di negara ini.

“Nampaknya semakin dekat ‘pusingan U’. Ramai anak muda mendekati saya menceritakan bagaimana kecewanya mereka dengan ahli politik serta politik pada masa kini. Faham-faham.

“Saya percaya perubahan kerajaan pada masa ini, seharusnya apa yang diperlukan ada kurang berpolitik dan lebihkan kepimpinan. Dan apakah perbezaan kedua-dua itu?

“Ahli politik fikir tentang pilihan raya seterusnya manakala pemimpin akan terkenangkan masa hadapan serta generasinya,” katanya beberapa jam lepas.

MGF05122018_PC PTPTN03
Wan Saiful Wan Jan

Wan Saiful semalam memaklumkan cadangan serta maklum balas daripada rakyat tentang bagaimana mahu mengendalikan isu PTPTN sebenarnya sangat banyak.

“Ada yang kata PTPTN perlu ditutup, ada yang kata hutang mansuh terus. Ada yang cadang kita saman peminjam sampai bankrap dan ada yang kata dasar sekatan terhadap peminjam ke luar negara itu baik.

“Tapi pagi tadi ada laporan dan komen kata saya akan laksanakan semula dasar sekatan ke luar negara. Saya tak cakap macam itu sebaliknya itu adalah antara cadangan pelbagai pihak.

“Di peringkat PTPTN, kita tidak angkat ia sebagai cadangan rasmi kita. Tetapi kita kena iktiraf pandangan semua rakyat. Tetapi setakat ini kita di PTPTN tidak kata ia akan dilaksanakan,” ujarnya.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat reaksi negatif bukan sahaja netizen tetapi rata-rata khasnya golongan muda.

Setakat ini dilaporkan hampir RM36 bilion gagal dibayar balik kembali oleh peminjam PTPTN. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast