SERI KEMBANGAN- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak boleh selesa dengan kedudukan semasa sebaliknya terus meneroka perkembangan teknologi pertanian dunia moden untuk menjadi juara pentas antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau mahu melihat Bernas tidak hilang dari arena pertanian negara dan mampu bersaing di gelanggang luas dan besar seterusnya membuktikan keupayaan dengan pengalaman 25 tahun sekaligus menjadi payung industri padi dan beras negara.
Katanya, kepimpinan Bernas harus mengambil pengajaran dari perjalanan 25 tahun yang cukup mendewasakan syarikat itu bukan sekadar memahami dunia korporat tetapi juga menjadi organisasi yang lebih memahami keperluan rakyat dan pemain industri padi dan beras.
“Pemimpin dan organisasi di Bernas tidak harus duduk di dunia selesa dan pencapaian anda hari ini harus diukur, dikaji dan kalau boleh perlu disemak kembali supaya apa jua keadaan sekalipun tetap unggul dan mampu bersaing sebagaimana syarikat multinasional lain yang sentiasa peka dan mahu meneroka bidang baharu yang lebih mencabar.
“Sekiranya kita lengah membaca isyarat (dunia pertanian) hari ini, saya bimbang kita akan ketinggalan jauh ke belakang dan terus meneroka idea dan inovatif melahirkan produk baharu sekaligus meninggalkan pesaingnya yang lalai dan leka dengan kehebatan hari ini,” katanya selepas menyempurnakan Anugerah Tani Bernas malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin Ayub juga Ahli Parlimen Pulai berkongsi nasib syarikat telefon bimbit Nokia yang pernah menjadi peneraju utama dunia telefon sekitar tahun 2000 yang akhirnya ketinggalan akibat alpa dengan dunia teknologi sehingga ketinggalan berbanding Samsung dan Apple.
Menurutnya nasib Nokia harus menjadi teladan dan pengajaran kepada Bernas supaya tidak mudah alpa dan leka dengan perkembangan dunia pertanian semasa.
“Saya tak mahu Bernas jadi seperti Nokia, dalam apa jua keadaan sekalipun saya harap Bernas kekal dan mampu bersaing di gelanggang terbuka. Kalau ‘silat’ kita terbaik, persembahan terbaik dengan persediaan cukup inovasi yang tinggi dan nilai kebajikan yang semakin luhur maka saya yakin Bernas akan menjadi pilihan warga tani dan rakyat malaysia.
“Tidak ada pendekar kampung yang dianggap pendekar, tidak ada panglima yang dianggap panglima sebelum dibuktikan di gelanggang terbuka, kalau Bernas tak nak jadi sekadar jaguh kampung, dia harus jadi jaguh nasional dan antarabangsa.
“Sebagai menteri saya akan facilitate kamu dan saya akan mewujudkan pasaran ‘terbang’ yang saksama untuk semua pemain industri termasuk Bernas,” ujar beliau.
Timbalan Presiden Amanah itu juga berjanji akan memperjuangkan hak pesawah dan petani memastikan segala kecukupan, pembelaan sekiranya anda dizalimi termasuk kebajikan.
Dalam perkembangan sama beliau turut meminta pesawah dan semua pemain industri padi dan beras supaya bersiap sedia dengan cabaran cuaca global dan peningkatan populasi penduduk dalam menjamin keselamatan makanan dicapai sepenuhnya seperti yang disasarkan kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi Bernas, Megat Joha Megat Abdul Rahman komited menyokong hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memodenkan dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara.
Menurutnya, peningkatan produktiviti beras tempatan bukan sahaja akan mengukuhkan bekalan beras dalam negara malah mempertingkatkan taraf ekonomi luar bandar sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mentransformasi sektor agromakanan negara.
“Saya sangat bersetuju dengan cadangan kementerian Pertanian sebelum ini yang mensasarkan fokus bagi meningkatkan tahap sara diri beras negara kepada 80 peratus selain menyokong halatuju kerajaan untuk memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara.
“Kami berharap dan mendoakan agar hasil pesawah kita akan meningkat, agar wira wira kita ini akan mendapat ganjaran yang lebih atas usaha mereka.
“Kami di Bernas, selagi diberikan kepercayaan dan tanggungjawab, akan terus komited dalam memastikan
kestabilan industri disamping memastikan beras cukup di pasaran dengan harga yang berpatutan dan mampu dibeli oleh rakyat,” katanya. – -MalaysiaGazette