Pemandangan dari udara aliran Sungai Johor yang turut tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa bahan toksik di Muara Sungai Kim Kim, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Nak ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Itu situasi yang dialami oleh sebilangan nelayan yang menjadikan Sungai Kim Kim sebagai mata pencarian mereka.

Rata-rata nelayan bimbang pendedahan secara besar-besaran  mengenai kes pencemaran toksik di sungai berkenaan akan menjejaskan punca rezeki mereka.

Mereka khuatir selepas ini tiada lagi pembeli yang akan membeli hasil tangkapan nelayan di situ, meskipun bukan semua hasil tangkapan nelayan itu diperoleh dari Sungai Kim Kim.

Kebimbangan mereka bukan setakat itu sahaja, malah semasa tinjauan MalaysiaGazette ke Kampung Pasir Putih di sini beberapa nelayan dan penduduk turut meluah rasa banyak perkara yang dipendam sejak sekian lama.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM25
Mohd Roslan Yusoff

Seorang penduduk yang juga nelayan di Kampung Pasir Putih, Mohd Roslan Yusof, 53, berkata, sisa toksik yang mencemarkan sungai di tempat mereka itu berlaku bertahun-tahun lamanya.

Banyak aduan telah buat, namun tindakan terhadap perkara itu seolah-olah tidak diambil sehingga timbul masalah yang sedang dihadapi ketika ini.

Dakwanya, keadaan menjadi lebih kronik apabila berlaku insiden melibatkan manusia sejak 7 Mac lalu.

Namun, katanya, ada maklumat yang tidak tepat disalurkan oleh pihak tertentu di laman sosial.

“Kebanyakan nelayan di sini tidak berani untuk mendedahkan apa yang berlaku kerana dibimbangi akan menyebabkan orang ramai tidak mahu membeli hasil tangkapan mereka.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM17
Pemandangan dari udara aliran Sungai Johor yang turut tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa bahan toksik di Muara Sungai Kim Kim, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2019.

“Jadi adalah lebih baik mereka mendiamkan diri daripada mendedahkan situasi yang berlaku kepada umum,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd Roslan, mereka yang menjadikan hasil laut sebagai sumber pendapatan hanya berharap agar keadaan yang berlaku kembali pulih serta menggesa pihak yang berkenaan lebih tegas dalam melakukan penguatkuasaan.

Seorang lagi penduduk, Zulkarnain Hashim berkata, insiden yang berlaku tidak boleh didiamkan lagi dan langkah  lebih tegas perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab.

Dia yang merupakan anak tempatan di Pasir Gudang sedih melihat keadaan yang berlaku di tanah kelahirannya itu.

Tambah beliau, keadaan Sungai Kim Kim yang sebelum ini menjadi destinasi kaki pancing sudah bertukar sepi apabila tiada siapa lagi berani turun untuk mengail ikan.

“Dengan pencemaran ini ikan pun lari. Memang tak nampak ada ikan mati, tapi apabila air sungai sudah bercampur dengan bahan kimia yang dibuang, ikan-ikan pun tidak lagi masuk ke Sungai Kim Kim ini.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM20
Pemandangan dari udara aliran Sungai Johor yang turut tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa bahan toksik di Muara Sungai Kim Kim, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2019.

“Keadaan sememangnya semakin teruk sejak tempoh empat tahun kebelakangan ini. Semua itu berlaku angkara kilang-kilang industri di sini yang sewewenang-wenangnya melepaskan sisa toksik ke dalam sungai tanpa pengawasan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Kampung Pasir Putih, Suhaimi Ahmad Shah memberitahu, sejak insiden ribuan warga Pasir Gudang diserang pelbagai penyakit akibat pencemaran yang berlaku, ada dalam kalangan penduduk di kawasannya menjadi trauma.

Katanya, lebih menyedihkan lagi apabila hasil pendapatan penduduk yang merupakan nelayan terjejas teruk.

“Ada nelayan yang takut hendak ke laut kerana bimbang mengalami masalah kesihatan seperti pernafasan.

“Setakat ini 10 orang penduduk di kampung ini sudah mendapatkan rawatan. Mereka juga takut nak keluar rumah. Takut nak buat aktiviti luar,” tambahnya.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM26
Suhaimi Ahmad Shah

Dalam pada itu beliau berharap agar penduduk kampungnya lebih berjaga-jaga terhadap situasi yang berlaku ketika ini. – MalaysiaGazette