KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik bagi membantu mangsa-mangsa dan keluarga yang terlibat dalam serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Dua pegawai dari Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington telah diterbangkan ke Christchurch dalam penerbangan paling awal yang ada pada hari Sabtu, 16 Mac dan Kementerian Luar Negeri juga mengerahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Kementerian Luar menambah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo sudah tiba di Christchurch petang semalam.

Katanya, Kementerian Luar Negeri telah menyerahkan bantuan kewangan secara peribadi daripada rakyat Malaysia termasuk yang berpangkalan di Wellington kepada setiap keluarga petang semalam .

“Lebih banyak sumbangan kewangan daripada pelbagai sumber dijangka diperoleh pada minggu ini. Dengan jangkaan keluarga untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan Malaysia, kami ada menjelaskan bahawa ia tertakluk kepada pelbagai prosedur dan peraturan kewangan.

“Kami juga telah menjelaskan kepada keluarga bahawa Kerajaan New Zealand memberi jaminan semua mangsa yang terjejas oleh kejadian menembak akan dilindungi oleh Perbadanan Pampasan Kecemasan Tempatan (ACC),” kata kementerian itu.

ACCC itu akan meliputi keperluan perubatan termasuk fisioterapi, pampasan kepada 80 peratus kehilangan pendapatan bulanan dan bantuan lain yang diperlukan semasa proses pemulihan mangsa.

Mereka juga layak mendapat dana bantuan di bawah Kumpulan Krisis Muslim Christchurch dan Dana Mangsa Tembakan Christchurch dan kementerian telah membuat pengaturan yang diperlukan untuk membantu mangsa dalam mengakses dana yang diperuntukan kepada mereka.

Kenyataan itu dibuat susulan keluarga mangsa-mangsa terlibat dilaporkan mendakwa kerajaan Malaysia tidak banyak membantu mereka.

Dalam kenyataan sama, kementerian itu memaklumkan tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand sedang menjalani proses pemulihan yang baik dan menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan.

Sehingga semalam, seorang lagi rakyat Malaysia dilaporkan masih hilang. – MalaysiaGazette