Sultan Johor
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sedih melihat mangsa-mangsa pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang memutuskan untuk membatalkan penganjuran dua acara sempena Hari Keputeraan Baginda iaitu Majlis Jamuan Teh serta Majlis Jamuan Negeri.

“Ramai yang terjejas kerana pencemaran sisa bahan kimia akibat dibuat pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, manakala sekolah juga masih ditutup.

“Saya membatalkan dua acara ini oleh sebab tidak mahu berada di majlis yang meriah sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan masih menderita” titah Sultan Ibrahim.

Majlis Jamuan Teh itu dijadualkan berlangsung pada 24 Mac ini, manakala Majlis Jamuan Negeri pula sepatutnya diadakan pada 25 Mac.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah, dengan pembatalan acara itu, ia juga membolehkan petugas-petugas membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Sebagaimana kita tahu, ramai petugas yang juga penjawat awam dan juga pasukan keselamatan serta perubatan terbabit dalam operasi pembersihan dan saya amat menghargai komitmen serta dedikasi mereka.

“Oleh demikian, saya berasakan adalah wajar untuk membatalkan acara ini demi rakyat dan pasukan petugas yang bekerja keras tanpa mengira waktu,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast