Antara gelagat Ultras Malaya semasa perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam.foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kumpulan penyokong setia skuad Harimau Malaya, Ultras Malaya membuat keputusan untuk memboikot kejohanan empat penjuru Piala AIRMARINE 2019 yang bermula  hari ini dan pada 23 Mac ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ultras Malaya dalam satu kenyataannya berkata, tindakan tersebut dilakukan kerana tidak bersetuju dengan sebarang eksploitasi ke atas skuad Harimau Malaya untuk kepentingan dan keuntungan ‘poket’ pihak-pihak tertentu.

“Semua sedia maklum bahawa skuad Harimau Malaya kita akan dieksploitasikan di dalam kejohanan Piala AirMarine ciptaan pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan ke atas semangat dan keinginan penyokong yang inginkan ranking FIFA skuad kebangsaan kita meningkat.

“Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusof Mahadi dalam temubual dengan pihak media dalam keadaan tergagap-gagap (rujuk video goal.com).

“Piala AirMarine ini sebenarnya hanyalah satu perlawanan persahabatan kelas A yang akan memberikan mata FIFA sebagai aksi persahabatan. Persoalannya di sini mengapa dan apa rasionalnya pihak penganjur ProEvents mengenakan caj tiket (RM35) yang melebihi dari harga tiket perlawanan persahabatan yang biasa iaitu RM20?

“Sedangkan perlawanan Piala AFF pun RM30 untuk peringkat kumpulan, satu kejohanan peringkat rantau ASEAN yang juga memberikan kiraan mata yang sama dengan persahabatan kelas A. Jelas mereka ini mahu mengaut keuntungan atas angin dan mengambil kesempatan ke atas semangat kita semua selaku ekor Harimau Malaya,” kata di laman Facebook Ultra Malaya.

Ultras Malaya turut mempersoalkan kewajaran FAM memberikan kebenaran kepada pihak ketiga untuk mengautkan keuntungan tambahan melalui kewujudan kejohanan tersebut.

“Kenapa FAM memberi kebenaran kepada pihak ketiga untuk mengeksploitasi pasukan Harimau Malaya sedangkan pihak FAM boleh sahaja mengadakan perlawanan persahabatan kelas A seperti biasa dengan mengenakan caj tiket RM20 seperti selalu.

“Mengapa perlu diwujudkan kejohanan seperti ini sedangkan jelas tidak ada kelebihan pun kepada skuad kebangsaan, kiraan mata FIFA tetap sama iaitu mata untuk persahabatan. Jelas eksploitasi telah berlaku ke atas skuad Harimau Malaya.

“Berapakah nilai tajaan dari AIRMARINE sehinggakan berbaloi untuk FAM selaku badan induk menyerahkan skuad Harimau Malaya untuk dieksploitasi? Pasti ada nilai tajaan, mengapa tidak diumumkan nilai tajaan? Ada pihak yang nak main belakang dengan wang tajaan?” soal mereka lagi.

Justeru itu, pihak Ultras Malaya sebulat suara untuk tidak hadir pada perlawanan Malaysia menentang Singapura pada hari ini dan juga perlawanan akhir Piala AIRMARINE.

Bagaimanapun, mereka tetap akan memberikan sokongan padu kepada skuad Malaysia B-23 mengharungi kempen kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam.

“Perlu diingat, ProEvents adalah syarikat yang pernah menggunakan dan mengeksploitasi skuad Harimau Malaya untuk mengaut keuntungan dan kepentingan mereka dengan kebenaran dari badan induk FAM.

“Kini mereka membuat comeback dengan cara serta gaya penganjuran yang berbeza agar kononnya tidak akan mendapat tentangan dari pihak penyokong.

“Kepada semua ‘ekor-ekor’ Harimau Malaya, pihak Ultras Malaya telah sebulat suara untuk tidak menyokong dan memberi walau satu sen kepada para kapitalis yang mengeksploitasi skuad Harimau Malaya kita, dengan kata yang lebih mudah ialah curva off untuk Stadium Nasional Bukit Jalil. Tiket percuma ke, tiket apa ke, kita curva off,” jelas kenyataan itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/18/tiket-piala-air-marine-2019-mula-dijual-di-stadium-bukit-jalil-hari-ini/