SEPANG – Kerajaan Malaysia masih belum mempunyai maklumat lengkap mengenai punca kematian Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang dikenalpasti meninggal dunia, semalam.
Bagaimanapun, menurut wakil rasmi kerajaan Malaysia ke New Zealand, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, pengesahan jenazah Muhammad Haziq dibuat melalui ujian DNA.
“Tiada maklumat lengkap kami cuma dimaklumkan sebelum ini kita hanya agak samada yang meninggal itu adalah Haziq.
“Yang dikatakan dia lari dari masjid itu dan tidak dapat jumpa. Tapi sebenarnya dia sepanjang masa di situ.
“Setelah dicam dan DNA maka telah pasti yang meninggal itu adalah Haziq,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.
Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kini dalam perjalanan ke Christchurch bagi menemui keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.
Tambah Mujahid, segala butiran terperinci mengenai kematian Muhammad Haziq ada pada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu.
“Butiran yang berlaku ke atas mangsa belum dikenalpasti. Mungkin pihak kedutaan ada maklumat lanjut dan kita akan kongsikan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah Muhammad Haziq selamat dikebumikan jam 12 tengah hari tadi waktu Malaysia (5 petang waktu New Zealand).
Perkara itu disahkan EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh.
Muhammad Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.
Ketika kejadian pada jam 1.40 tengah hari waktu New Zealand itu, Mohd Tarmizi bersama Muhammad Haziq dan seorang lagi anaknya, Mohd Haris, 12, hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala Mohd Tarmizi parah.
Insiden serangan di dua masjid di Christchurch itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette