Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan kelulusan RM6 bilion oleh kerajaan Pusat untuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa baharu di Kedah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, keputusan pembangunan lapangan terbang itu dibuat berdasarkan kewujudan keperluan jangka masa panjang pembangunan koridor utara Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, ia juga bagi menampung permintaan industri khususnya Koridor Selatan dan Koridor Utara Kedah disamping menarik pelabur.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang ketika ini kapasitinya semakin meningkat dan tidak dapat menampung.

“Justeru, untuk membesarkan lapangan terbang juga terhad kerana tidak ada lagi kawasan yang sesuai untuk pembesaran lapangan terbang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata, bagi menampung permintaan industri khususnya wujud keperluan untuk membangunkan lapangan terbang baharu bagi menarik ramai pelabur.

Beliau bagaimanapun menolak dakwaan pembinaan lapangan terbang baharu di Kedah akan ‘menganggu’ trafik di Lapangan Terbang Bayan Lepas.

“Tidak. saya tidak fikir akan ada kesan (Bayan Lepas), langkah ini (lapangan baharu) hanya sebagai komplimen untuk fasiliti yang sedia ada di Bayan Lepas dan Alor Setar.

‘Kini kita boleh melihat kehadiran pelabur yang ramai ke Malaysia tetapi dasar kerajaan semasa ialah kami tidak mahu terlalu fokus kepada pembangunan di Selangor atau Lembah Klang ataupun Johor.

“Kami mahu memastikan lebih ramai pelaburan ke utara dan negeri lain dan ini sebahagian daripada hasil kajian separuh penggal untuk mengimbangi pembangunan wilayah, antara kawasan luar bandar dan bandar.

“Maka kemudahan adalah tambahan kepada fasiliti yang sudah sedia ada ketika ini,” katanya.

Ditanya sama ada kajian kebolehupayaan sudah dibuat atau belum, Mohamed Azmin berkata, semestinya proses itu akan dilaksanakan dan perkara berkenaan telah dibangkitkan dalam Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaa Koridor Utara pada Isnin lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, semua menteri besar dan ketua menteri ada dalam perjumpaan itu termasuk Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

“Semua cadangan dibangkitkan dan dibentangkan oleh sekretariat dan beberapa pengesyorannya diluluskan dan projek lapangan terbang salah satu yag dipersetujui dan akan diteruskan,” ujarnya lagi.

Timbalan Presiden PKR itu juga berkata, Kajian Kesan Trafik (TIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) juga akan dijalankan dan ia proses biasa untuk projek besar dan perlu mematuhi syarat tersebut.

Beliau juga mengakui projek lapangan terbang baharu di Kedah bernilai RM1.6 bilion itu akan dibangunkan sepenuhnya oleh swasta.

“Ini bukan projek kerajaan.. siapa kata kerajaan? Lagipun peruntukan RM1.6 bilion itu adalah untuk pembangunan lapangan terbang tetapi inisiatifnya ialah swasta sebab dalam keadaan ekonomi sekarang kita perlukan pembabitan aktif pihak swasta.

“Kerajaan tidak mempunyai wang untuk membangunkannya (lapangan terbang) tetapi ia penyertaan swasta amat diperlukan untuk pembangunan penting ini,” tegasnya.- Malaysia Gazette