Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak pernah mewajibkan sekolah untuk melaksanakan modul 10 minit perhimpunan pada setiap sesi perhimpunan.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, namun guru besar dan pengetua digalakkan untuk menggunakan kreativiti mengikut konteks sekolah dalam melaksanakan aktiviti di sekolah.

Katanya modul 10 minit perhimpunan sekolah itu diperkenalkan oleh Institut Pendidikan Kampus Ilmu Khas (IPKIK) yang merupakan invosi dirancang berdasarkan analisis keperluan membudayakan pembejalaran abad ke-21 dan pembelajaran nilai murni.

“Setakat ini, lebih 260 sekolah telah mengamalkan dan melaksanakan modul 10 minit perhimpunan ini.

“Modul ini merupakan himpunan aktiviti yang bersifat ‘unpact Curriculum Komprehensif dan berstruktur.

“Ia hanya dilaksanakan semasa perhimpunan selama 10 minit sahaja tanpa menggunakan waktu perhimpunan sebenar, tanpa mengabaikan tatacara perhimpunan sebenar sekolah,” katanya semasa sesi Menteri Menjawab di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Padang Terap (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid yang meminta Menteri Pendidikan menjelaskan pelaksanaan modul 10 minit perhimpunan berupaya menerapkan nilai pendidikan komprehensif secara ‘add on’ kepada pelajar dan memberi penekanan kepada KBAT dan pembelajaran abad ke-21 disamping memperkasa pengetahuan teknologi dalam kalangan guru.

Tambah Maszlee, aktiviti-aktiviti lain dalam perhimpunan sekolah diteruskan seperti biasa iaitu antaranya membincangkan isu isu semasa dan perkembangan aktiviti lain.

Kata beliau, pihak sekolah digalakkan menggunakan manual kecil itu dalam perhimpunan kecil seperti aktiviti kokurikulum selain perhimpunan biasa.

“Hasil tinjauan terhadap keberkesanan pelaksanaan modul ini pada kemenjadian murid pada tahun 2018 ke atas pentadbir sekolah dan guru guru seramai 267 orang mendapati program ini menyumbang kepada penguasaaan insaniah murid seperti kepimpinan pemikiran, komunikasi pemimikiran kreatif dan inovatif, kemahiran dwibahasa iaitu BI dan BM, pembangunan karakter murid dan nilai dan etika.

“Ini bermakna selama 10 minit acara ini dilaksanakan oleh anak-anak murid sepenuhnya, bukannya oleh guru sekolah dan ia akan menjadikan murid-murid lebih kreatif dan membina karakter mereka,” ujarnya.

Sebagai soalan tambahan Mahdzir turut meminta pandangan Maszlee tentang jumlah waktu aktiviti di sekolah termasuk sama ada 10 minit perhimpunan mampu meningkatkan amalan nilai murni dan sivik pelajar.

Maszlee berkata, kementerian turut memperkenalkan manual rujukan nilai murni yang akan dibacakan dua minggu sekali atau seminggu sekali yang akan diterjemahkan dalam aktiviti kokurikulum.

Tambah beliau, ia bukan sekadar subjek semata-mata tetapi juga dimasukkan dalam mata pelajaran lain serta kokurikulum tambahan sekolah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar (PH), Datuk Abdullah Sani meminta penjelasan tentang langkah-langkah KPM dalam menyusun kokurikulum khusus kepada pelajar berusia 16 dan 17 tahun untuk hadapai KBAT.

“Sebenarnya kami memulakan pendidikan KBAT dari awal darjah satu hingga ke tingakatan lima dan ia akan berterusan kesinambungannya.

“Selain itu kita juga menggalakkan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan kemahiran turut terlibat dalam pelbagai aktiviti tambahan agar anak mereka didedahkan dengan pelbagai kemahiran bukan sekadar KBAT tetapi juga soft skill atau kebijaksanaan,” kata Maszlee. – MalaysiaGazette