Jabatan Alam Sekitar

JOHOR BAHRU – Seorang penolong jurutera Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor pengsan selepas terhidu bahan kimia mentah dari kebocoran sebuah tong, dalam kejadian di makmal jabatan itu di Pusat Perdagangan Utama, Taman Tampoi Indah II, Skudai, di sini, hari ini.

Pengarah JAS Johor Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh yang dihubungi Bernama berkata kejadian berlaku kira-kira 4 petang sewaktu lelaki berumur 30 tahun berkenaan sedang bekerja di makmal itu.

“Mangsa (penolong jurutera) pengsan disebabkan terhidu bau bahan kimia yang meruap naik, namun, dia kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.

“Buat masa ini, makmal berkenaan ditutup sementara untuk sebarang kerja dan jenis bahan kimia tersebut sedang dikenalpasti,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi merangkap Pegawai Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hairinizam Mostapa berkata kejadian dilaporkan JAS kepada pihaknya pada 4.28 petang.

Berikutan itu, sembilan anggota bersama tiga jentera telah digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi penyahcemaran.

“Pihak bomba telah mengarahkan pegawai JAS untuk membuat pengungsian (pemindahan) bangunan dan pada masa sama, membuat penyahcemar bagi mengekang sisa toksik (bahan kimia) tersebut daripada merebak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi bomba tamat pada 6.53 petang dan siasatan terhadap kes berkenaan masih lagi dijalankan sehingga kini.

–BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast