Pihak yang melakukan pencemaran sisa buangan terjadual mungkin berdepan hukuman denda lebih berat sehingga RM15 juta.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bimbang undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 gagal dikuatkuasakan dalam kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim untuk melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

Lantaran itu, agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang sepatutnya mencegah pencemaran di Sungai Kim Kim perlu mengambil bertanggungjawab atas kegagalan mereka dalam mencegah jenayah korporat itu berlaku sehingga menjejaskan nyawa orang awam.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, pihak percaya mangsa-mangsa yang terjejas boleh mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang sebagai cara tambahan untuk mendapatkan pampasan.

“Insiden ini seharusnya menjadi satu peringatan kepada kerajaan bahawa pendedahan kepada pencemaran alam sekitar merupakan risiko yang serius terutamanya dalam negara membangun di mana kekurangan pelaburan kepada teknologi moden dan undang-undang alam sekitar akan menyumbang secara langsung kepada pencemaran yang lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Suhakam berkata, pihaknya mengikuti perkembangan pencemaran sungai yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk secara dekat, secara langsung memberi kesan terhadap hak asasi mereka kepada piawaian kesihatan yang terbaik, integriti fizikal, bekalan air yang selamat dan hak untuk menikmati persekitaran yang sihat.

Razali memberitahi, Suhakam menghargai usaha kerajaan untuk menjalankan proses pemeriksaan berkala terhadap mangsa-mangsa yang terjejas akibat pembuangan sisa toksik tersebut dan mengesyorkan agar rawatan perubatan diberikan secara percuma sekiranya mereka mengalami kesan jangka panjang dari segi kesihatan.

Suhakam juga berharap Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan
menerapkan pendekatan berasaskan hak terhadap situasi ini dan akan mendedahkan sepenuhnya keputusan penyiasatan mereka, khususnya kepada pihak yang terlibat.

Organisasi itu juga menyeru kerajaan untuk mengiktiraf kepentingan untuk bekerjasama dengan sektor perniagaan
bagi mengukuhkan paraturan-peraturan dan amalan berhubung industri kimia, selaras dengan piawaian hak asasi manusia.

“Dalam perkara ini, Suhakam mengulangi seruan kami terhadap pelan tindakan kebangsaan hak asasi dan perniagaan di Malaysia.bagi mengukuhkan paraturan-peraturan dan amalan berhubung industri kimia, selaras dengan
piawaian hak asasi manusia,” ujarnya. – MalaysiaGazette