BAGHDAD – Hampir 100 orang terbunuh selepas feri yang dinaiki tenggelam di Sungai Tigris di bandar Mosul.
Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, kata Menteri Dalam Negeri.
“Sekurang-kurangnya 19 orang kanak-kanak dan 61 wanita termasuk dalam 94 orang yang sudah disahkan meninggal dunia. Seramai 55 lagi telah diselamatkan,” katanya.
Semasa kejadian terdapat kira-kira 200 orang di atas feri berkenaan yang dalam perjalanan ke Pulau Umm Rabean, kira-kira empat kilometer dari bandar berkenaan.
Para pelancong ke pulau itu bagi meraikan Nowruz, festival tahun baharu.
Mangsa-mangsa yang meninggal dunia didakwa tidak boleh berenang.
Rakaman menunjukkan feri berkenaan berada dalam keadaan condong ke kanan, menyebabkan air masuk sebelum ia terbalik sepenuhnya.
Feri itu kemudian dibawa ke hilir dengan cepat disebabkan arus sungai deras.
Helikopter digunakan untuk menyelamatkan mangsa dan mengesan mayat-mayat.
Pihak berkuasa melaporkan telah memberi amaran tentang kenaikan paras air selepas pintu Empangan Mosul telah dibuka namun pengendali feri tidak mengendahkan peringatan tersebut.
Kementerian Keadilan Iraq telah memerintahkan sembilan pekerja syarikat feri ditahan dan menyekat pemilik feri dan lokasi pusat pelancongan daripada meninggalkan negara. – MalaysiaGazette