Kaum wanita New Zealand bertudung bagi memperingati serangan hitam di dua masjid di Christchurch minggu lalu dalam upacara memperingati kejadian itu di Masjid Al Noor. foto Agensi

CHRISTCHURCH – Hari ini genap seminggu tragedi serangan di dua buah masjid di sini yang mengorbankan 50 orang Islam.

Bagi mengingati peristiwa berdarah itu, penduduk New Zealand memakai tudung bagi menunjukkan sokongan mereka kepada komuniti Islam.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern mengetuai beribu-ribu penduduk New Zealand untuk bersama-sama memperingati hari serangan itu di Hagley Park, di depan masjid Al Noor yang menyaksikan banyak nyawa terkorban dalam serangan berkenaan.

Majlis itu dijangka disertai oleh pemimpin asing dan tempatan.

Solat Jumaat yang bermula 1.30 tengah hari (0030 GMT) akan disiarkan secara langsung di seluruh negara, diikuti dengan dua minit bertafakur.

Arden yang menyifatkan serangan itu sebagai pengganas mengumumkan untuk mengharamkan penggunaan pistol separa automatik.

Lantaran itu, kerajaan akan memberhentikan jualan senjata itu serta merta sehingga undang-undang baharu mengenainya diputuskan.

Kebanyakan mangsa dalam serangan itu merupakan warga asing dari Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Turki, Somalia, Afghanistan dan Bangladesh.

Orang Islam di New Zealand adalah satu peratus daripada penduduknya, kebanyakan dilahirkan di luar negara. – MalaysiaGazette