Pesawat Boeing 737 MAX 8

JAKARTA – Syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda akan membatalkan tempahan 49 buah pesawat Boeing, B737 MAX 8 dengan menyatakan kehilangan keyakinan penumpang dalam model itu selepas dua kemalangan membabitkan pesawat jenis iyang sama dalam tempoh enam bulan.

Ia merupakan pembatalan tempahan pertama untuk pesawat itu sejak model pesawat baharu Boeing digantung operasi oleh syarikat penerbangan seluruh dunia berikutan kemalangan di Indonesia dan Ethiopia.

Garudan Indonesia yang menempah 50 pesawat B737 MAX 8 pada 2014 dan menerima pesawat pertama pada tahun lalu menghantar sepucuk surat kepada Boeing pada minggu lalu memohon pembatalan tempahan bernilai AS$4.9 bilion, kata jurucakap syarikat itu, Rosan.

Setakat ini syarikat penerbangan itu telah membayar sebanyak AS$26 juta untuk tempahan tersebut.

Garuda yang memiliki sebuah B737 MAX 8 bersama syarikat penerbangan lain di seluruh dunia menggantung operasi pesawat itu selepas kemalangan Ethiopian Airlines pada bulan ini yang meragut 157 nyawa.

Kemalangan tersebut berlaku lima bulan selepas 189 terbunuh apabila sebuah lagi B737 MAX 8 milik Lion Air terhempas di Laut Jawa sejurus berlepas dari Jakarta.

“Penumpang sentiasa bertanya pesawat jenis apa yang kami pakai kerana mereka telah hilang keyakinan dalam MAX 8.

“Ini akan menjejaskan perniagaan kami,” kata Rosan

Beliau menambah, Garuda merancang mengadakan perjumpaan dengan wakil Boeing pada minggu depan di Jakarta bagi membincangkan perincian pembatalan tempahan itu.

“Kami tidak mahu mengghunakan MAX 8 tetapi mungkin akan bertukar kepada model Boeing yang lain,” kata Rosan.

Menurut beliau, penumpang Indonesia khuatir terbang dengan pesawat B737 MAX, sama ada siri 8,9 atau 10. – Agensi