Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Fenomena kemarau melanda negara sejak lebih sebulan lalu menyebabkan lebih 7,440 hektar kawasan tanaman padi yang diusahakan 2,555 petani bawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan terjejas teruk.

Justeru, bagi mengatasi masalah bekalan air yang berlaku akibat cuaca panas melampau, KADA melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil langkah segera membuat sistem penggiliran bekalan air ke sawah.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sistem penggiliran itu dibuat mengikut tempoh tertentu dan keperluan sebagaimana ditetapkan setiap kawasan tanaman padi di bawah seliaan agensi berkenaan.

“Sebanyak empat unit pam sokongan dan satu unit floating pump juga telah dibekalkan oleh KADA bagi menampung keperluan air.

“KADA juga turut mengagihkan 242 unit pam bergerak dan 212 unit backward pump di setiap jajahan serta bekalan diesel diberikan kepada petani untuk menggerakkan pam yang disediakan dan pam persendirian,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Salahuddin berkata, dengan situasi kemarau berterusan itu, beliau mengarahkan pegawainya mengadakan perbincangan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi melaksanakan operasi pembenihan awan sebagai tindakan lanjut menangani isu itu.

Jelas beliau, hasil perbincangan itu, beliau dimaklumkan keputusan telah dibuat untuk meneruskan operasi pembenihan awan menggunakan peruntukan bersama Jabatan Meteorologi dan Kementerian Pertanian.

“Pihak Jabatan Meteorologi akan melaksanakan operasi tersebut secepat mungkin mengikut penentuan masa dan keadaan yang sesuai.

“Sekiranya kemelut bekalan air ini berterusan, lebih ramai petani akan terjejas dan jumlah kawasan terlibat juga akan meningkat.

“Atas sebab itu, kementerian saya sedang berusaha mengatasi masalah ini dengan apa cara sekalipun bagi memastikan petani terus dibela,” katanya. – MalaysiaGazette