Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

BANTING – Kerajaan mungkin terpaksa menghentikan pembelian kapal terbang termasuk pesawat jet dari negara Eropah sebagai membalas tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot serta memburukkan imej minyak kelapa sawit negara di mata dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selepas ini pihaknya mungkin terpaksa mengintai negara lain termasuk China sekiranya wujud keperluan untuk memberi pesawat baharu pada masa akan datang.

“Kalau mereka berterusan ambil tindakan menentang kita (burukkan sawit) cuba jejaskan imej, kita mungkin terpaksa fikir semula untuk membeli kapal terbang dari China atau dari mana-mana negara lain.

“Ini bukan promosi barangan China, ini menolak barangan dari Eropah yang telah berbuat sesuatu untuk memiskin kita. Mereka tak peduli 600,000 rakyat kita, tiada pekerjaan pun tak apa, asalkan harimau dapat hidup, boleh makan orang.

“Itu kalau EU terus memberi tekanan kepada kita dan cuba memiskinkan kita. Kita tak perlukan jet pejuang hebat pun, kita mana ada duit, beli kapal terbang kecil Cessna sudah memadai,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Kempen Sayangi Sawitku hari ini.

Dr Mahathir turut berkongsi kekaguman terhadap teknologi China semasa menyaksikan persembahan jet pejuang di Pakistan semalam.

“Kita beli buatan China sahaja sebab masa di Pakistan semalam, saya sempat menyaksikan persembahan jet pejuang dari China dan teknologi mereka cukup mengagumkan.

“Jadi, kita mungkin terpaksa beli jet pejuang China, saya fikir teknologi mereka tak jauh beza dan ada yang sudah melebihi teknologi Eropah. Ini akan dilakukan sebab sekat minyak sawit kita,” katanya.

Tindakan EU memboikot minyak sawit negara bagaikan tiada kesudahan malah semakin terdesak apabila menggunakan isu ancaman alam sekitar dan hidupan liar sebagai alasan terbaru untuk memburukkan imej komoditi negara itu.

Terbaru EU memberi penanaman komoditi itu telah menjejaskan kawasan hijau hingga mendakwa Malaysia menggunakan kawasan hutan simpan sebagai kawasan penanaman.

Mereka juga memberi alasan pencerobohan hutan simpan itu telah menyebabkan habitat hidupan liar terjejas khususnya orang utan.

Industri minyak sawit negara berhadapan dengan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan seringkali dituduh menjadi punca jerebu di rantau berkenaan.

Malah, EU turut mencadangkan resolusi supaya menghentikan penggunaan minyak sayuran dalam biodiesel yang dihasilkan menerusi cara tidak mapan.

Resolusi itu termasuklah minyak sawit, komoditi penting bagi Indonesia dan Malaysia yang menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.