Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeo (dua kiri) pada Pelancaran Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak di Ruang Legar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 26 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Nama serta butiran peribadi pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan dimasukkkn ke dalam sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak Kanak Dalam Daftar Kanak Kanak (eDKK) kerajaan.

Sehubungan dengan itu, mulai 1 April ini setiap pesalah yang tersenarai dalam pangkalan data eDKK akan dipantau secara serius supaya mereka tidak lagi mencari kesempatan itu ke atas kanak kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menasihati para ibu bapa dan pihak sekolah yang mahu menggaji mana mana individu untuk bekerja melibatkan kanak-kanak supaya menyemak identiti mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, menerusi sistem eDKK keputusan atau rekod sama ada seseorang individu itu mempunyai jenayah atau sebaliknya akan diketahui serta merta sebagai panduan kepada ibu bapa tanpa sebarang bayaran dikenakan.

“Kalau di JKM negeri keputusan semakan akan diperolehi serta merta, kalau ke JKM daerah keputusan hanya diketahui selepas lima hari kerana hanya JKM negeri yang mempunyai kuasa untuk memberi keputusan serta merta.

“Dalam pencarian mengenai semakan rekod pelaku jenayah seksual seseorang itu, akan keluar ‘tiada rekod’ dan kita akan memaklumkan menerusi sepucuk surat kepada ibu bapa bahawa orang itu tidak mempunyai rekod jenayah.

“Tetapi kalau orang itu ada rekod kita perlukan masa tambahan untuk menyemak dengan mahkamah sama ada sabitan tersebut mempunyai sebarang kes rayuan di mahkamah sebelum memaklumkan kepada ibu bapa atau pihak sekolah mengenai hasil semakan kami,” katanya selepas pelancaran di lobi kementerian itu petang tadi.

Sistem itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Salehuddin Abd Rahman.

Menurut beliau setakat ini lebih 3,000 nama pesalah jenayah seksual yang dimasukkan ke dalam sistem eDKK pernah terlibat dibawah Akta Kesalahan Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.

“Maka bagi tahun 2017 sahaja seramai 314 orang disabitkan kesalahan jenayah seksual manakala 300 daripadanya pelaku kali pertama dan 14 orang mengulangi kesalahan, bagi tahun 2018, seramai 639 orang pesalah direkodkan dan 605 daripadanya kesalahan pertama dan 34 lagi mengulangi kesalahan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan sentiasa mengemaskini data tersebut serta mengambil langkah emperketatkan lagi akta berkaitan termasuk meminda peruntukan sedia ada untuk melindungi kanak kanak.

Hannah juga memberitahu bahawa sistem ini menjamin pelaku jenayah ditapis dan dihalang daripada mengulanginya tetapi tidak semestinya ibu bapa terus cuci tangan.

Ditanya kenapa nama nama pelaku jenayah yang diperolehi itu tidak didedahkan kepada umum, Hannah berkata, perkara itu perlu dibincangkan denganĀ  Kementerian Dalam Negeri serta pelbagai pihak lain.

Beliau berkata ada peningkatan kesalahan seksual setiap tahun kerana kanak kanak dan remaja bawah umur terdedah kepada penggunaan telefon pintar tanpa diawasi ibu bapa atau penjaga sambil meminta pihak berkenaan mendapatkan kaunseling dan bantuan sewajarnya.

“Akses bahan pornografi penapisan pertama harus dilakukan oleh ibu bapa yang memberikan gajet kepada anak anak walaupun sibuk bekerja suoaya pantau perkembangan anak ketika bermain dengan telefon,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette