Parlimen
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

LANGKAWI – Pesawat tempur milik negara masih lagi berfungsi dengan baik dan mampu digunakan untuk beberapa tahun lagi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya walaupun pesawat-pesawat tersebut telah lama dibeli oleh kerajaan namun prestasinya masih di tahap baik kerana ia telah dijaga dan diselenggara dengan rapi.

Menurutnya, prestasi pesawat yang baik itu jelas boleh dilihat semasa pertunjukan udara pada majlis pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) pagi tadi.

“Ya, kita memang berminat (untuk beli pesawat baharu) tapi pada waktu ini belum sampai waktunya, kita dapati pesawat yang kita beli lama (dahulu) masih boleh perform dengan baik.

“Kita boleh lihat pagi tadi, demonstrasi yang melibatkan semua pesawat lama ini, ia telah dijaga dan di selenggara dengan baik dan kita dapati keupayaan mereka menunjukkan mereka boleh tahan lama lagi,” katanya dalam satu sidang media sempena LIMA’19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia bercadang untuk menggantikan pesawat tempur milik negara yang telah berusia dengan pesawat yang baharu.

LIMA’19 berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL) mulai 26 hingga 30 Mac.

Sebanyak 406 syarikat pertahanan, komersial dari 32 buah negara mengesahkan penyertaan dalam LIMA’19 yang melibatkan sebanyak 206 syarikat tempatan serta 200 syarikat antarabangsa.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast