Dewan Rakyat
Hannah Yeoh merupakan salah seorang dalam kumpulan Ahli Parlimen wanita yang berusaha mahukan Parlimen peka gender.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta supaya tidak menyokong apa-apa aktiviti mengutip derma atau mengemis yang menggunakan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ia bertujuan bagi menghentikan salah guna kanak-kanak yang melanggar Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kalau kita lihat apa-apa sindiket orang dewasa yang guna kanak-kanak untuk mengemis, kadang-kadang pakai uniform semua itu, kanak-kanak tak boleh jalankan aktiviti mengemis di jalanan termasuk di bawah badan bukan kerajaan, kita tak benarkan kecuali mereka ada permit untuk berbuat demikian,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Hannah menegaskan, sekiranya orang awam terus memberikan derma selagi itulah sindiket mempergunakan kanak-kanak terbabit akan terus berlaku.

“Kita saran orang awam tidak menyokong mana-mana organisasi memggunakan kanak-kanak untuk kutip derma kerana kita tak mahu kanak-kanak ini dipergunakan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjadikan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis, meminta sedekah, menyanyi, menjual barang atau membuat persembahan, mereka boleh disabitkan dengan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Kanak-kanak klausa Seksyen 32. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast