SEMASA musim panas tahunan mempunyai sebabnya. Kegagalan agensi-agensi bertanggungjawab untuk berfungsi telah menghakis keyakinan rakyat untuk menempuhi musim panas tahunan. Banjir Pantai Timur pada ahkir 2018 tidak berlaku pada skala yang teruk seperti yang dijangkakan.
Ini memberikan petunjuk kemungkinan berulangnya fenomena el-Nino atau situasi sama seperti el-Nino. Tahun 2014 telah memberikan gambaran krisis air skala kecil kepada rakyat Malaysia.
Situasi pembentukan el-Nino penuh atau percubaan pembentukan el-Nino masih akan memberikan kesan hampir sama dengan el-Nino tetapi pada tahap impak yang berbeza.
Kemarau atau cuaca panas tanpa hujan bagi tempoh lama adalah sebahagian daripada iklim kita yang menyebabkan paras rendah bagi empangan air dan sungai yang menjurus kepada kekurangan bekalan air.
Sejak tamadun awal, manusia telah belajar untuk menyesuaikan diri bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air dengan pembinaan empangan, takungan tasik buatan manusia dan sistem pengairan yang sistematik.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, pada tahun 2017 pecahan populasi penduduk kita adalah 75.5 peratus populasi bandar dan 24.5 peratus populasi luar bandar.
Ini adalah fenomena utama yang berlaku di seluruh dunia. Kebiasaannya, sumber air adalah jauh daripada bandar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.
Kehilangan kawasan hutan menyebabkan musin panas biasa menjadi teruk. Bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi dan pengurusan permintaan yang lebih baik dapat membantu kita memenuhi permintaan air.
Ia bermula dengan pemeliharaan kawasan tadahan air kita dari sekarang.
Kawasan Tadahan Air
Ini adalah kawasan yang kita boleh mengumpul air mentah daripada hujan.
Matematik asas akan membuktikan kepada kita bahawa peningkatan dalam populasi penduduk dan aktiviti ekonomi adalah bersamaan dengan peningkatan permintaan air (air mentah dan air terawat).
Berdasarkan data 2017, Malaysia mengekstrak air mentah sebanyak 18.375 bilion liter sehari untuk menghasilkan air terawat sahaja. Ini tidak termasuk penggunaan air mentah oleh sektor industri dan pertanian secara terus.
Kehilangan litupan hutan mengurangkan kesediawujudan air mentah dengan kualiti yang baik.
Risiko bekalan air mentah bermula di sini. Kita dapat memperhatikan kehancuran hutan telah berlaku secara berterusan di seluruh Malaysia dengan alasan bagi tujuan pembalakan dan pembangunan tetapi masalah ini hanya dilaporkan untuk negeri-negeri terpilih.
Malaysia memerlukan kuasa pengurusan air berpusat di mana air mentah, perawatan dan bekalan air terawat serta pelepasan air sisa diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan dan lapor terus kepada Parlimen Malaysia.
Dalam soal selidik peringkat kebangsaan yang dilaksanakan oleh AWER (mengikut metodologi Jabatan Perangkaan), sebanyak 72.86 peratus rakyat Malaysia menyokong cadangan AWER untuk membatalkan kuasa kerajaan negeri ke atas sumber air dan meletakkannya terus di bawah Parlimen (bukan kementerian) jika kerajaan-kerajaan negeri gagal melindungi kawasan tadahan air.
Kerajaan perlu mempertingkatkan usaha untuk membangunkan sumber air di kawasan hulu, pertengahan dan hilir. Pembangunan sumber air di zon-zon pertengahan dan hilir akan membolehkan kita menangani masalah kekurangan bekalan air mentah.
Air Bawah Tanah dan Kebakaran Tanah Gambut
Pengisian semula (recharge) air bawah tanah bagi iklim Hutan Hujan Tropika adalah melalui hujan. Dengan pengurangan litupan hutan, pengisian semula air bawah tanah akan turun mendadak.
Ini memberikan kesan bahaya kepada tanah gambut. Tanah gambut yang lebih kering senang untuk terbakar dan mengakibatkan kebakaran hutan dan jerebu.
Terdapat juga cadangan untuk meningkatkan penggunaan air bawah tanah untuk menggantikan kekurangan bekalan air mentah yang disebabkan oleh kegagalan pengurusan air permukaan.
Pengekstrakan kecil-kecilan yang banyak melalui telaga atau telaga tiub dan projek pengekstrakan besar-besaran akan memberikan risiko serta-merta kepada aras air bawah tanah (water table).
Penurunan aras air bawah tanah meningkatkan kebarangkalian dan kekerapan kebakaran tanah gambut. Adakah kita bersedia untuk kitaran buas (vicious cycle) sebegini disebabkan kegagalan agensi-agensi kerajaan untuk mengurus sumber air?
Air Tidak Terhasil (NRW)
Tahap NRW masih dalam paras yang sama sejak beberapa dekad yang lalu.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menetapkan sasaran NRW kebangsaan bagi tahun 2020 adalah 25 peratus selepas tekanan berterusan daripada AWER. Bagaimanapun, sasaran itu tidak akan tercapai pada tahun depan walaupun pegawai-pegawai SPAN tunggang-terbalikkan diri mereka.
Statistik terkini menunjukkan NRW pada tahun 2016 adalah 35.2 peratus dan telah meningkat kepada 35.3 peratus pada tahun 2017.
Ini menunjukkan bahawa hanya sekitar 64.7 peratus air terawat sampai kepada pengguna dan membawa pendapatan kepada industri perkhidmatan air.
Cadangan-cadangan penyelesaian NRW secara sistematik dan cekap dari segi kos sudahpun dikemukakan oleh AWER sejak tahun 2011 kepada agensi-agensi yang bertanggungjawab.
Malangnya, cadangan-cadangan yang diterima pakai sudahpun diabaikan sejak beberapa tahun lalu dan NRW masih tinggi.
Kecekapan Air
Kerajaan mesti melaksanakan Pelabelan Kecekapan Air Mandatori dan Piawaian Minimum Kecekapan Air (Minimum Water Efficiency Standard / MWES) untuk mencapai “kecekapan air statik”.
Melalui mekanisme pelabelan mandatori, kerajaan dapat membantu pengguna untuk menjadi lebih cekap air apabila membeli peralatan yang mengurangkan penggunaan air sambil tidak mengganggu hasil kerja yang dikehendaki.
Sebagai contoh, pili air cekap air dapat mengurangkan penggunaan air sekitar 20 peratus hingga 50 peratus dengan menambah gelembung udara sambil membantu mempercepatkan proses membasuh sabun.
Mekanisme MWES sama dengan Piawaian Minima Pencapaian Tenaga (Minimum Energy Performance Standard / MEPS) yang AWER telah berjaya memaksa Suruhanjaya Tenaga melaksanakannya pada tahun 2014.
Produk-produk yang tidak mencapai keperluan MEPS tidak dibenarkan penjualannya di pasaran Malaysia. Dengan kaedah yang sama, MWES dapat melaksanakan sekatan yang sama bagi mengelakkan rakyat Malaysia membeli produk yang membazir air.
Penyongsangan Pencemaran
Keupayaan tampung sungai-sungai kita adalah terhad. Semasa musim panas, aliran air adalah rendah di mana keupayaan tampung sungai berkurang dan menyebabkan insiden pencemaran meningkat.
Disebabkan peningkatan populasi penduduk dan ekonomi, beban pencemaran ke atas sungai-sungai kita juga telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu.
Piawaian pelepasan air sisa berdasarkan beban pencemaran yang berkesan boleh membantu mengurangkan pencemaran.
Melalui pelaksanaan berkala, kita dapat meningkatkan kualiti air mentah dan menjadikan lebih banyak sungai sedia wujud sebagai sumber air mentah bagi tujuan air minuman.
Pelaksanaan yang berjaya akan mula menunjukkan keputusan positif di antara lima hingga 10 tahun.
Kegagalan Pengurusan
Faktor pengkhianatan terbesar yang memberikan impak tertinggi terhadap jaminan air adalah disebabkan oleh kegagalan agensi-agensi kerajaan berkaitan dengan sektor air untuk berfungsi.
Pegawai-pegawai kementerian (air dan alam sekitar) bersama dengan SPAN dan agensi-agensi air peringkat negeri secara amnya telah gagal merancang pengurusan sumber dan penggunaan air secara berkesan.
Kegagalan itu meningkatkan risiko catuan air, penutupan loji perawatan air dan insiden-insiden pencemaran. Ini bukanlah disebabkan oleh kuasa Tuhan.
Ini secara ringkasnya adalah senario “gagal merancang adalah merancang untuk gagal”.
Sehingga kini, tiada perubahan yang kukuh telah berlaku dari dekad yang lepas. Adakah Kerajaan Persekutuan serius dalam pengurusan krisis berkaitan air?
Jika ya, mulalah kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan melalui sesi konsultasi yang sebenar dan laksanakan perubahan yang perlu. Sila juga singkirkan pegawai-pagawai yang menjadi penyebab krisis dan masalah air di Malaysia. – MalaysiaGazette
PIARAPAKARAN S., Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)