Dewan Rakyat
Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menyebut untuk melaksanaan projek ‘kenderaan terbang’ sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata, perkara tersebut juga tidak pernah dibincangkan untuk dijadikan sebagai projek kereta kebangsaan.

“Ini merupakan sebahagian daripada pembentangan yang diberikan kementerian kepada industri automotif sebagai sebahagian daripada penglibatan pihak berkepentingan dalam Kajian Dasar Automotif Kebangsaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab ciapan ahli Parlimen Rembau (BN-Rembau), Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila membayangkan kerajaan kini sedang merancang untuk membina kenderaan terbang.

Perkara itu dibangkitkan Khairy sambil berkongsi paparan skrin draf dokumen semakan Dasar Automotif Kebangsaan di Twitternya.

Kian Ming menyifatkan sikap Khairy itu sebagai satu perbuatan ‘nakal’ apabila cuba membangkitkan isu tersebut.

Semalam, Khairy menerusi Twitter berkata, beliau terkejut apabila mendapati “kenderaan terbang” disenaraikan di antara perkara utama dalam dasar Kajian Automotif Kebangsaan (NAP).

Bagaimanapun Kian Ming memberitahu, bahawa dokumen itu hanya draf dan untuk tujuan perbincangan.

“Saya mahu buat penafian, jelas dinyatakan bahawa maklumat yang terkandung di sini adalah tertakluk kepada perubahan,” ujarnya.

Beliau berkata dalam dokumen perundingan yang sama, perbincangan mengenai projek kereta kebangsaan baru juga memberi tumpuan kepada teknologi baru, termasuk menjangkakan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), yang akan menjadi kenderaan yang cekap tenaga (EEV).

“Kemasukan perbincangan mengenai kenderaan terbang adalah untuk menangani keperluan bagi piawaian dan peraturan sekiranya terdapat permintaan terhadap penggunaan teknologi tersebut oleh industri automotif pada masa akan datang.

“Kementerian kita komited untuk mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak berkepentingan penting mengenai semakan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) yang akan memberi tumpuan kepada keseluruhan sektor automotif termasuk rantaian bekalan dan nilai.

“Adalah malang bagi Ahli Parlimen Rembau memilih untuk menunjukkan rujukan kecil kepada teknologi baru bagi tujuan penetapan piawai dalam dokumen perbincangan dan bukannya memberi perhatian kepada cabaran yang lebih besar.

“Kami sentiasa menghargai apa-apa maklum balas terhadap cadangan konkrit dari Khairy atau sesiapa dari bangku pembangkang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette