SHAH ALAM – Kebarangkalian kejadian yang mungkin berlaku terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ialah terkena daun pintu EMRS yang mungkin mendorongnya jatuh sehingga mengakibatkan tujuh tulang rusuk kirinya di belakang badannya patah.
Namun tiada dalam rakaman yang boleh dijadikan bukti untuk membantu siasatan, kata Pakar Forensik, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.
Walaupun pihak polis dan mahkamah telah menayangkan rakaman video yang menunjukkan anggota bomba itu berada di dalam van sewaktu jentera FRT mengundur namun beliau tidak menolak video tersebut tidak boleh menguatkan kesimpulannya sebelum ini.
Sebaliknya apa yang menguatkan kebarangkalian kejadian sebenar adalah berdasarkan laporan pembedahan siasatan yang dilakukan terhadapnya tiada tanda dikasari, ditarik mahupun kesan mempertahankan diri.
“Kebarangkalian kecederaan ini adalah akibat hentaman pintu kiri EMRS terhadap belakang kiri Adib daripada video itu pada saat yang dimaksudkan peguam memang nampak kenderaan dihentam tapi tidak nampak pintu menghentam atau Adib berada di luar.
“Rakamannya yang seterusnya saat ke-28 hingga 46 tidak menunjukkan, tidak dapat membantu penyiasat untuk memberikan konklusi kemungkinan untuk berlaku kepada mangsa sewaktu rakaman tidak menumpukan keadaan tersebut,” katanya kepada Mahkamah Koroner semasa sidang inkues hari ini.
Terdahulu Ahmad Hafizam ditanya adakah kebarangkalian yang berdasarkan kecederaan Muhammad Adib sudah tidak boleh terpakai disebabkan video yang ditayangkan kepadanya beberapa hari yang lalu.
Video berdurasi 46 saat itu menunjukkan rakaman kejadian rusuhan kuil Sri Maha Mariamman 27 November 2018 di mana ada seorang anggota bomba di tempat duduk penumpang hadapan van EMRS.
Ahmad Hafizam selain itu berkata yang beliau tidak dimaklumkan tentang Muhammad Adib tidak berada di tempat duduk penumpang van EMRS menerusi keterangan rakan sekerjanya.
“Benar (polis gagal memaklumkan Muhammad Adib tidak berada di tempat duduk penumpang)…ASP Liwe (Pegawai Penyiasat ASP Liwe Keng Joe) memang ada menunjukkan beberapa video pada malam kejadian,” tambahnya. -MalaysiaGazette