KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga HK$3.1 bilion atau kira-kira RM1.61 bilion yang terletak di Wan Chai, Hong Kong adalah tidak tepat.
Menurut beliau, tiada keperluan mendesak untuk kerajaan ketika itu berkira-kira untuk menjual aset negara.
“Saya tidak terfikir begitu, takkanlah hendak jual sampai ke seluar dalam kalau pun tidak ada duit.
“Kalau pun tidak ada duit, kita dah berkerajaan mesti ada cara yang boleh kita cari dari punca lain. Takkanlah hendak jual segala-galanya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Tengku Razaleigh berkata demikian ketika ditanya media mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa keputusan untuk menjual aset di Hong Kong dibuat pentadbiran BN menerusi kaedah rundingan terus.
Beliau berkata, nilai yang diterima kerajaan BN jauh lebih rendah, iaitu RM1.1 bilion berbanding kerajaan sekarang.
“Keputusan menjual bangunan ini dibuat kerajaan BN kerana mereka tidak dapat tampung kos pembaikan sebanyak RM300 juta.
“Apabila kita ambil tampuk pemerintahan, kita rasa ia tidak seharusnya dibuat secara rundingan terus kepada syarikat ini,” kata Guan Eng pada Selasa lalu.
Ia ekoran kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, BN tidak pernah mahu menjual aset negara di Hong Kong tidak seperti yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.
Pada bulan lalu, sebuah akhbar yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.
Mengulas lanjut, Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sekiranya aset itu dijual, kerajaan tidak mampu untuk mencari aset baharu di Hong Kong kerana harga hartanah di sana yang semakin mahal.
“Bagi saya eloklah kita simpan bangunan itu kerana hendak beli pula, harganya sudah melambung naik. Dahulu kita beli hanya 200 juta Hong Kong kalau saya tidak silap. Sekarang ini sudah bilion nilainya. Nak beli ganti, mana ada duit berbilion ringgit,” katanya.
Ditanya adakah wajar untuk kerajaan menjual aset berkenaan, jawabnya, ia terpulang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini memegang tampuk pemerintahan Putrajaya.
“Itu hak dia, hak kerajaan hendak jual atau tidak. Saya hendak kata boleh atau tidak boleh, bukan kuasa saya,” katanya lagi.
Untuk rekod, bangunan 28 tingkat yang diberi nama ‘Malaysia Building’ itu dibeli oleh kerajaan ketika Tengku Razaleigh memegang jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1976 sehingga tahun 1984. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/28/isu-jual-bangunan-biar-guan-eng-jawab-dulu-najib/