ENGLAND – Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap the Red Devils hari ini.
Manchester United mengumumkan keputusan itu secara rasmi dalam laman web rasmi kelab itu www.manutd.com pagi tadi.
Kelab paling sukses di England itu dalam kenyataan hari ini berkata, bintang legenda Old Trafford itu dilantik secara tetap dengan kontrak selama tiga tahun.
Solskjaer datang ke Theatre Of Dreams sebagai pengurus sementara pada 19 Disember lalu selepas bekas pengurusnya Jose Mourinho dipecat.
Solskjaer, 46, telah menghabiskan karier bola sepak sebagai pemain selama 11 musim di Old Trafford dibawah bimbingan Sir Alex Ferguson sekitar tahun 90-an.
Bekas bintang warga Norway itu menjaringkan gol kemenangan ke atas Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara Juara Eropah pada tahun 1999 dan menjulang gelaran berprestij Eropah itu.
Sepanjang bersama Man Utd antara 1999 hingga 2007, beliau menjaringkan 126 gol dalam 366 penampilan sebelum melatih pasukan simpanan kelab itu sehingga 2010.
“Inilah tugas yang saya sentiasa impikan dan saya teruja kerana akhirnay diberi amanat menerajui kelab ini untuk tempoh panjang.
“Sejak hari pertama di Old Trafford saya merasakan seolah berada di tanahair sendiri ketika melangkah masuk ke dalam kelab istimewa ini.
“Adalah satu penghargaan bagi saya menjadi pemain dan kini memulakan karier kejurulatihan bersama kelab ini,” kata Spolskjaer.
Selepas Solskjaer mengambi alih tugas Manchester United, kelab berkenaan berada di tangga keenam carta Liga Perdana Inggeris dengan perbezaan 11 mata dari empat teratas.
Tetapi dalam 13 aksi EPL setakat ini pasukan berkenaan kini hanya tewas sekali iaitu di Emirates bersama Arsenal dan kini 2 mata di belakang The Gunners untuk mengejar empat teratas untuk kelayakan Liga Juara Juara Eropah musim depan.
Solskjaer muncul sebagai Pengurus Manchester United pertama menang lapan perlawanan pertama EPL sekaligus meleburkan rekod yang dipegang Sir Matt Busby.
Sehingga kini Solskjaer menang 14 perlawanan dan dua seri dan tiga kekalahan dalam semua perlawanan di England.
the Red Devils kini di Suku Akhir Liga Juara Juara Eropah buat kali pertama sejak 2014, dan telah bangkit memadamkan defisit 0-2 di Old Trafford dan menang 3-1 ke atas Paris Saint Jermain secara luar biasa yang tidak dijangkakan mana mana pihak.
Solskjaer merupakan pengurus tetap keempat dilantik kelab itu selepas persaraan Ferguson pada tahun 2013.
Penerapan taktik menyerang dalam setiap perlawanan Manchester United oleh Solskjaer membawa kemenangan khususnya ke atas Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea.
Naib Pengerusi Eksekutif kelab berkenaan, Ed Woodward berkata, keputusan yang disampaikan Ole sejak kehadirannya pada Disember lalu membuktikan keupayaannya.
“Ole berjaya mengembalikan pengalamannya sebagai pemain dan jurulatih dengan impian membara memberi peluang kepada pemain muda untuk memahami budaya kemenangan kelab ini.
“Ini membuktikan dialah individu terbaik untuk membawa kelab ini ke hadapan ke arah kecemerlangan.
“Saya dapat melihat kesemua kakitangan dan pasukan kejurulatihan serta para penyokong sedang berada di belakang dia.
“Maka dia kelihatan sedang membawa kita kepada kecemerlangan yang berhak dicapai dan mencipta satu lagi detik bersejarah bersama Manchester United,” tegasnya lagi.
Sejak beberapa minggu lalu khabar angin tersebar dalam media sosial serata dunia dan dalam kalangan penyokong tegar serta pengulas sukan bola sepak bahawa Solskjaer bakal dilantik secara tetap.
Pada dua hari lalu, akhbar tabloid di United Kingdom pula mendakwa pengurusan tertinggi di Old Trafford tidak mahu tergesa gesa mengumumkan Ole sebagai pengurus tetap sebelum keputusan rami menyusul pagi tadi sekaligus menyebabkan keterujaan peminat the Red Devils seluruh dunia.- MalaysiaGazette